
PONTIAN – Era digital yang semakin pesat menuntut masyarakat untuk bergerak seiring dengan perkembangan teknologi, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI) yang kini menjadi antara pemacu utama perubahan dunia.
Perkara itu ditegaskan oleh Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Selatan, Muhammad Asri Ibrahim ketika merasmikan Kursus Artificial Intelligence (AI) anjuran Pertubuhan Kebajikan Islah Pontian (PERKIP) dengan kerjasama Pejabat NADI Pulai Sebatang, Mukim Api-api, di sini.
Menurut beliau, dunia telah melalui perubahan ketara pasca pandemik COVID-19, di mana penggunaan teknologi seperti kod QR dan sistem digital menjadi norma baharu dalam kehidupan seharian.
“AI bukan lagi sekadar imaginasi masa depan, tetapi telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian kita ianya melibatkan sektor kesihatan, pendidikan, kewangan, pengangkutan hingga ke pentadbiran awam,” katanya dalam ucapan perasmian.
Beliau turut menegaskan bahawa teknologi AI berpotensi besar dalam meningkatkan produktiviti, mempercepatkan proses membuat keputusan serta merangsang inovasi. Dalam sektor kesihatan, misalnya, AI membantu pengesanan awal penyakit, manakala dalam pendidikan pula ia membolehkan pendekatan pembelajaran yang lebih diperibadikan.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa kemajuan teknologi turut hadir bersama cabaran tersendiri.
“Isu keselamatan data, etika penggunaan teknologi serta kesan terhadap pasaran pekerjaan perlu diberi perhatian serius. Pembangunan AI mesti dipandu dengan nilai kemanusiaan, integriti dan tanggungjawab,” jelasnya.
Tambah beliau, masa depan bukanlah tentang persaingan antara manusia dan mesin, sebaliknya bagaimana kedua-duanya dapat bergerak seiring dalam membina dunia yang lebih baik dan mampan.
Program ini menekankan bahawa AI merupakan pemangkin utama kepada kemajuan moden yang mampu meningkatkan kecekapan, inovasi dan kualiti hidup masyarakat.
Namun, keseimbangan antara kemajuan teknologi dan aspek etika, keselamatan serta kesejahteraan manusia perlu terus dipelihara.
Pendekatan bertanggungjawab dalam pembangunan dan penggunaan AI dilihat penting agar teknologi ini benar-benar menjadi alat memperkasa manusia, bukannya menggantikannya.
Program seperti ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan memahami serta menguasai teknologi AI dalam mendepani cabaran masa depan.





