PEMERHATI politik, Raggie Jessy Rithaudeen menegaskan, Perikatan Nasional (PN) perlu memberi penjelasan segera mengenai hala tuju gabungan itu, termasuk menamakan calon Perdana Menteri dan menjelaskan kedudukan kepimpinan mereka menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Dalam siaran langsung di Facebook, beliau berkata, pembangkang kini berada dalam keadaan tidak menentu, namun cuba mengalih perhatian rakyat dengan memainkan isu sensasi serta menyerang kerajaan menerusi naratif persepsi yang didakwa tidak berlandaskan fakta.
Menurutnya, tindakan beberapa pemimpin pembangkang memutar belit isu seperti Kampung Sungai Baru, Pembaharuan Semula Bandar (PSB) atau Urban Renewal Act (URA), Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART), kenyataan perkauman serta pelbagai dakwaan lain bertujuan menutup kelemahan dan perpecahan dalaman mereka.
“Mereka sibuk alih perhatian, tetapi masalah sebenar ada dalam PN sendiri. Retak, berpecah dan tak ada kesepakatan. Itu hakikatnya,” katanya.
Beliau berkata, prestasi PN dalam beberapa pilihan raya mutakhir seperti di Sabah, Air Kuning dan Mahkota menunjukkan pola penolakan yang semakin jelas, khususnya terhadap Pas dan Bersatu.
Katanya, kelemahan jentera, kurang strategi serta ketidaksefahaman kepimpinan menyebabkan PN gagal menunjukkan prestasi mantap seperti yang dicanangkan.
“Di Sabah, PN hilang 91 peratus kerusi dan 88 peratus deposit. Itu hampir ‘total wipeout’. Di Semenanjung pun tidak banyak beza. Jentera lemah sebab dalaman mereka sendiri berpecah,” katanya.

Dalam ulasan sama, beliau menegaskan bahawa PN masih gagal menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui secara bersama walaupun sering mendakwa bersedia mengambil alih Putrajaya.
Raggie berkata, wujud beberapa kem dalam gabungan itu termasuk kumpulan yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin, kem yang mahu Datuk Seri Hamzah Zainuddin, kumpulan yang mengangkat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan juga suara kecil yang menyebut nama Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Soalan mudah, siapa calon Perdana Menteri PN? Sampai hari ini mereka tak berani jawab. Kalau benar mereka bersatu, keluarlah sidang media dan umumkan calon,” katanya.
Beliau berkata pengumuman yang menyatakan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri juga berisiko besar kerana sebahagian besar akar umbi Pas dan Bersatu didakwa tidak lagi menerima beliau.
“Kalau mereka umum Muhyiddin, saya ucap tahniah… tapi itu juga akan mempercepatkan kehancuran PN kerana ramai yang tak setuju. Itu realitinya,” katanya.
Raggie turut menyifatkan serangan persepsi PN sebagai ‘perjuangan terdesak’ bagi mengalihkan perhatian daripada masalah dalaman yang semakin serius, termasuk ketiadaan hala tuju serta strategi gabungan yang mantap. Katanya, kempen PN di beberapa kawasan berbeza-beza dan tidak tersusun kerana setiap kumpulan bergerak dengan pendekatan sendiri.
Beliau turut menegaskan bahawa gabungan Kerajaan MADANI berada dalam kedudukan lebih stabil kerana sudah menetapkan hala tuju dan calon Perdana Menteri, manakala PN masih gagal berbuat demikian.
“PH-BN kita tahu siapa PM. Jelas. PN pula nak pergi PRU tapi nakhoda kapal pun tak tahu siapa. Orang ramai tak boleh buat keputusan kalau mereka sendiri tak berani umumkan arah,” katanya.
Mengakhiri ulasannya, beliau menggesa PN menghentikan permainan persepsi dan sebaliknya menyelesaikan kemelut dalaman sebelum cuba meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu mentadbir.
“Selesaikan masalah sendiri dulu. Jangan kaburi mata rakyat. Kalau yakin kuat, umumkan calon Perdana Menteri dan tunjukkan kesepakatan sebenar,” katanya.




