PADANG BESAR – Perlis Inland Port atau Pelabuhan Darat Perlis (PIP) bakal menjadi pemangkin utama kepada rangkaian logistik serantau ASEAN melalui sambungan kereta api antarabangsa dan perkhidmatan kargo bersepadu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, PIP akan memainkan peranan penting dalam sambungan rel utama negara seperti Pan Asian Railway dan ASEAN Express yang menghubungkan Malaysia dengan Thailand, Laos dan China.
“PIP bukan sahaja mempercepatkan pengendalian kargo Malaysia-Thailand, malah membuka laluan perdagangan baharu yang lebih luas merentas sempadan.
“Lokasi strategik PIP di sempadan utara Semenanjung Malaysia turut memberi kelebihan sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran barangan ke seluruh ASEAN,” katanya semasa sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Operasi dan Penyelenggaraan antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Inland Port Perlis Sdn. Bhd. (IPPSB) di IBC-CVIA Gallery di sini hari ini.
“Perkhidmatan nilai tambah seperti stuffing, repacking dan fumigasi akan mengukuhkan lagi kedudukan PIP sebagai hub logistik bersepadu.
“Fasa pertama PIP dijangka siap suku ketiga 2025 dan akan menggantikan Terminal Kontena Padang Besar (TKPB) yang kini hampir mencapai kapasiti maksimum,” katanya.
Tambahnya, PIP mampu mengendalikan sehingga 300,000 kontena bersamaan saiz 20 kaki (TEU) setahun berbanding hanya 150,000 TEU di TKPB, sekali gus menyelesaikan isu kesesakan trafik kargo dari selatan Thailand,” katanya.
Katanya, projek tersebut melibatkan usahasama kerajaan negeri Perlis, kerajaan Persekutuan dan sektor swasta ini turut disokong peruntukan RM327.45 juta oleh Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara bagi pembangunan infrastruktur rel dan jalan bertingkat.
“Lebih 500 pekerjaan akan diwujudkan menerusi projek ini yang dijangka menjadi tulang belakang logistik bagi Kawasan Perindustrian Lembah Chuping dan kawasan industri utara,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pembangunan PIP membuktikan kejayaan kerjasama tiga penjuru antara kerajaan, negeri dan swasta dalam melonjakkan potensi logistik negara ke peringkat serantau.
Penerima STR di Sabah luah syukur, hargai inisiatif kerajaan
SABAH – Penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di Sabah menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada Kerajaan MADANI atas bantuan yang disifatkan banyak membantu melegakan perbelanjaan rakyat, khususnya dalam kalangan…
Lebih lanjut







