
Oleh: Tengku Majid
MUKAH – Seramai 109 penerima mendapat surat kelulusan lot tanah di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Tellian Tengah Fasa 1, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasa kesejahteraan dan kebajikan rakyat luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.57 Tellian, Royston Valentine berkata, projek bernilai RM30 juta itu merangkumi penyediaan infrastruktur asas lengkap dan kini mencatat kemajuan kerja sebanyak 82.38 peratus, dengan tarikh siap dijangka pada 25 September 2026.
“Pelaksanaan SPK ini bukan sahaja menyediakan penempatan yang lebih terancang, malah memberi jaminan pemilikan tanah yang sah kepada rakyat, sekali gus membuka peluang pembangunan ekonomi dan kesejahteraan jangka panjang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah SPK Tellian Tengah Fasa 1 yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Selasa.
Royston menegaskan, SPK Tellian Tengah merupakan antara projek berimpak tinggi di kawasan DUN Tellian yang selari dengan agenda pembangunan kerajaan Sarawak di bawah Pelan Pembangunan Sarawak (PCDS) 2030.
Katanya, kerajaan negeri terus komited memastikan pembangunan dilaksanakan secara inklusif, berfasa dan mampan demi kepentingan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol; ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi ; Residen Bahagian Mukah Datu Kueh Lei Poh serta Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood.





