KERAJAAN Selangor tidak berkompromi terhadap tujuh kakitangan awam negeri itu yang disiasat berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, mereka yang terbabit kini dipindahkan ke jabatan lain dan Kerajaan Negeri menegaskan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan keras termasuk penggantungan tugas terhadap kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang terbabit.
“Sudah pasti kita tidak berkompromi. Saya minta mereka tidak berada di jabatan berkenaan. Kalau kita dapat nasihat penggantungan tugas sementara siasatan dan sebagainya, kita akan laksanakan.
“Saya percaya pihak berkuasa telah sampai waktu yang sangat penting iaitu detik akhir sebelum buat kesimpulan dan saya rasa ia tidak begitu lama untuk kita selesaikan,” katanya dipetik Selangor Kini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai meninjau pematuhan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina di pasar raya NSK di Kota Damansara, semalam.
Amirudin tidak menolak kemungkinan isu penyelewengan tanah berlaku ketika peralihan pengurusan daripada sistem manual kepada pendigitalan.
Sehubungan itu, katanya, Selangor akan memperkemas dan mempertingkatkan tatacara keselamatan dalam sistem pengurusan tanah bagi mengelak masalah tersebut berulang.
“Kawalan keselamatan dan sistem kita harus diperkemas termasuk tatacara operasi piawai (SOP) serta protokol, semuanya perlu ditambah baik untuk elakkan berlaku lagi,” katanya.
Amirudin memberi peringatan tegas kepada semua pihak supaya menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dedikasi.
Tegasnya, rakyat kini semakin cakna dengan isu penyalahgunaan kuasa dan rasuah selain selari dengan hasrat Kerajaan Madani untuk terus meningkatkan usaha membangunkan negara.
“Saya mahu beri peringatan. Anda tidak akan terlepas kalau melakukan khianat. Kalau bebas kali pertama, pada masa depan mungkin akan terperangkap,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’ di sebuah PTD di Selangor.
Susulan itu, 17 individu termasuk tujuh kakitangan PDT Klang ditahan sejak September lalu kerana disyaki terbabit kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.





