
PENAMPANG – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir pada 30 Mei ini sempena Pesta Kaamatan 2026, di Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), di sini.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti (KKRU), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, kemuncak sambutan seperti biasa akan berlangsung pada 30 dan 31 Mei 2026.
“Perdana Menteri Malaysia dijangka akan hadir pada 30 Mei manakala Yang Dipertua Negeri Sabah dijadual menghadiri perayaan pada 31 Mei.
“Mesyuarat induk Pesta Kaamatan 2026 hari ini juga telah menetapkan bahawa pelancaran rasmi perayaan itu akan diadakan pada 1 Mei depan, di daerah Papar.
“Selepas pelancaran itu, sambutan Pesta Kaamatan akan diteruskan di pelbagai peringkat termasuk daerah, daerah kecil serta beberapa lokasi lain yang mempunyai komuniti Kadazan Dusun Murut di seluruh Malaysia seperti Kuching, Klang Valley, Putrajaya dan Pulau Pinang,” ujarnya semasa Sidang media Sempena Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026, di Dewan Tan Sri Pairin, Hongkod Koisaan KDCA, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Joachim berkata, antara pembaharuan yang diperkenalkan tahun ini ialah penyediaan perkhidmatan shuttle bus pada 30 dan 31 Mei, yang disediakan oleh penaja, Barbarian Reborn.
“Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas serta mengatasi masalah parkir di kawasan KDCA, laluan yang disediakan adalah dari KDCA ke Imago berulang alik, serta dari Suria Sabah ke KDCA berulang alik,” ujarnya.

Tambahnya, bagi memudahkan pelancong dan pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan seperti jadual program serta kepelbagaian budaya etnik Sabah, satu kaunter informasi Kaamatan akan dibuka bermula 15 hingga 31 Mei, di KDCA.
“Selain itu, skrin LED tambahan turut dipasang di bahagian belakang kompleks KDCA bagi membolehkan lebih ramai pengunjung menyaksikan acara yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, memandangkan kapasiti dewan tersebut adalah terhad,” katanya.
Tambahnya lagi, dalam usaha mengangkat lagi prestij perayaan, permohonan telah dibuat kepada Malaysian Book of Records (MBOR) bagi mendapatkan pengiktirafan Pesta Kaamatan sebagai perayaan pesta menuai terpanjang di Malaysia.
Jelas Joachim, rumah terbuka akan diadakan di semua rumah tradisi pada 30 dan 31 Mei 2026 dari pukul 11.00 pagi hingga 2.00 petang, membolehkan orang ramai berkunjung ke setiap rumah tradisi.
“Bagaimanapun, minuman beralkohol tidak akan dibenarkan dijual atau dihidangkan di rumah-rumah tradisi pada dua hari tersebut dan hanya minuman tradisional akan disajikan serta minuman lain boleh didapati di luar kawasan rumah terbuka,” ujar beliau.
Bagi pertandingan Unduk Ngadau, beliau berkata, sesi pra-penjurian akan diadakan pada 30 Mei, sebelum seramai 25 peserta terbaik dipilih untuk bertanding di peringkat akhir pada 31 Mei 2026.





