
KUCHING – Kerajaan MADANI bersetuju menyerahkan 80 projek air luar bandar bernilai RM3.47 bilion kepada Sarawak di bawah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, langkah tersebut memastikan proses bekalan air bersih sampai ke kawasan luar bandar di Sarawak dengan lebih cekap.
”Saya yakin penyerahan kepada JBALB mampu mempercepatkan pelaksanaan projek yang sebelum ini dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) dan RMK12,” jelas beliau.
Tambah Zahid, sembilan daripada 80 projek berkenaan sudah pun siap manakala 50 projek dalam pelaksanaan, 20 projek dalam pascapelaksanaan dan satu projek sudah pun dibatalkan.
”Kedua-dua pihak kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan Sarawak sudah mencapai sepakat untuk mengutamakan penyelesaian termasuk meneliti semula peraturan sedia ada yang mungkin menyebabkan projek itu lambat dilaksanakan,” ujarnya.
Zahid menyambut baik cadangan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang memberi penekanan kepada kecekapan tanpa mengabaikan pematuhan peraturan.
”Saya difahamkan Sarawak mempunyai perancangan tersendiri untuk mencapai bekalan air penuh menjelang 2030 dan setakat ini Sarawak berjaya mencapai 93 peratus. Ini satu pencapaian yang sangat membanggakan,” kata Zahid lagi.
Sebelum ini, keputusan penyerahan projek BALB kepada Sarawak dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada 17 Mac 2026.
Langkah ini bertujuan untuk memastikan rakyat Sarawak terutama di kawasan luar bandar dapat menikmati bekalan air bersih sepenuhnya sekali gus meningkatkan kualiti hidup mereka.





