UMUM mengetahui negeri Terengganu berada di bawah pentadbiran kerajaan Pas sejak tahun 2018 apabila Barisan Nasional ketika itu gagal mempertahankan tampuk pentadbiran yang dirampas daripada Pas pada tahun 2004.
Sejak daripada itu, pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu diketuai oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku Menteri Besar Terengganu.
Cengkaman Pas dilihat semakin kuat apabila dalam pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) yang lalu berjaya menguasai kesemua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 8 Parlimen yang ada.
Meskipun begitu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dari hari pertama di tampuk kekuasaan tidak pernah sekalipun meminggirkan negeri Terengganu dalam menyalurkan peruntukan untuk pembangunan demi kesejahteraan rakyat negeri penyu itu.
Pada tahun 2022 sebanyak RM1.37 bilion diperuntukkan untuk pembangunan, tahun 2023 meningkat kepada RM1.55 bilion dan tahun 2024 terus meningkat kepada RM1.59 bilion.
Untuk tahun 2025 sebanyak RM1.84 bilion disediakan untuk negeri Terengganu bagi tujuan pembangunan fizikal.
Antara projek yang terlibat ialah pembinaan kolej matrikulasi baharu, pembinaan Kampus Politeknik Kuala Terengganu dan menaik taraf jambatan yang merentasi Sungai Marang di laluan Kuala Terengganu–Kuantan.
Turut tersenarai ialah pembinaan bangunan tambahan 10 bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan dua bengkel kemahiran serta kemudahan lain di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Telanai.
Selain projek-projek berskala besar ini, terdapat hampir 402 projek lain yang bakal dilaksanakan di negeri Terengganu yang akan memberi impak kepada pertumbuhan dan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
Ini dapat dijadikan sebagai penanda aras kepada cakap-cakap yang mengatakan negeri Terengganu dipinggirkan oleh Kerajaan Madani kerana kerajaan negeri yang tidak selari dengan Pusat.
Anwar telah membuktikan bahawa beliau ialah Perdana Menteri untuk semua negeri dan seluruh rakyat di Malaysia.
Kami rakyat negeri Terengganu menzahirkan ucapan terima kasih kepada PMX kerana berjiwa besar sebagai pemimpin utama negara demi melihat seluruh rakyat di negara ini mendapat dan merasai limpahan kemajuan yang dicapai di bawah Kerajaan Madani.





