
PAPAR – Pertembungan sembilan penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 dijangka dikuasai naratif perebutan antara dua tokoh yang mempunyai hubungan rapat, iaitu bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.
Walaupun penyandangnya ialah Dr. Daud Yusof daripada Warisan, perhatian pengundi tetap beralih kepada persaingan antara Anifah, yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Mohamad yang membawa panji Barisan Nasional (BN).
Anifah mengakui Mohamad adalah anak didiknya yang beliau bawa semasa bersama UMNO dan banyak membantunya sehinggalah menjadi calon bagi kerusi Parlimen Kimanis.
Bagaimanapun, tokoh veteran itu menyakini beliau boleh menewaskan Mohamad pada bila-bila masa sekiranya
pertandingan Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN) Sabah ke-17 membabitkan dua penjuru.
“Dia (Mohamad) tidak pernah popular, tetapi saya sentiasa menyokongnya. Jika dia hanya satu penggal sebagai Ahli Parlimen (Kimanis), kasihan juga padanya disebabkan dia masih muda.
“Kalau persaingan satu lawan satu, saya boleh kalahkannya pada bila-bila masa. Tetapi (PRN Sabah kali ini) saya menentang UMNO dan BN.
“Jadi, saya bukan menentang Mohamad. Kalau Mohamad (ini) orang Sabah bilang ‘musuh saya boleh masuk (dalam) poketlah,” katanya kepada media selepas mengadakan sesi tinjauan mesra bertemu pengundi di Pekan Bongawan.
Mengulas lanjut, Anifah memaklumkan kenyataannya bukan bertujuan untuk meremehkan Mohamad, sebaliknya beliau hanya menyatakan fakta berdasarkan pengalamannya.

Beliau turut berkongsi bahawa pengalaman luas sebagai bekas menteri dan ahli parlimen akan dijadikan aset penting dalam menarik sokongan pengundi di kawasan Bongawan.
“Bukan saya nak cakap sombong, tetapi saya tahu siapa dia dan saya siapa. Saya tahu siapa diri saya dan saya tahu apa yang saya mampu lakukan. Anda lihat orang sekeliling ketika saya berjalan, mereka berasa satu keakraban. Saya sentiasa turun padang, sarapan di gerai.
“Saya berharap dengan pengalaman luas yang saya ada sebagai menteri dan ahli parlimen sebelum ini akan membantu mendapatkan sokongan yang diperlukan dalam PRN Sabah.
“Saya ada rancangan besar untuk Bongawan. Dengan pengalaman saya, saya tahu apa yang saya mampu lakukan,” katanya.
Terdahulu, Anifah bakal berdepan saingan sembilan penjuru di DUN Bongawan termasuklah menentang Mohamad.
Turut mempertahankan kerusi itu ialah penyandang, Dr Daud Yusof (Warisan) yang menewaskan Anifah dalam PRN Sabah ke-16 pada tahun 2020 dengan majoriti 1,802 undi.
Pertandingan di N30 Bongawan yang mempunyai 24,019 pemilih turut menyaksikan penyertaan Dolores Michael mewakili STAR Sabah, Ridzuan Firdaus dari Perikatan Nasional, Royston Adven (Parti Impian Sabah, PIS), Md Haris Md Tahir sebagai calon Bebas menggunakan simbol kunci, Peter Matinjal (KDM) serta Hussin Dasar mewakili Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).








