DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer yang berlangsung hari ini sebagai pertemuan yang baik.
Perdana Menteri berkata, beliau dan rakan sejawatannya itu berpeluang mengadakan perbincangan empat mata bagi memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara, meliputi semua aspek termasuk ekonomi, pertahanan, serta pendidikan.
Bercakap kepada delegasi media Malaysia selepas pertemuan tersebut, Anwar menambah mereka berdua juga membincangkan mengenai penyelesaian terhadap isu Palestin.
“Ia terutamanya mengenai situasi di Gaza, dengan harapan untuk mencapai penyelesaian dua negara.
“Kami kelihatan agak optimis untuk mencapai penyelesaian secepat mungkin,” katanya.
Anwar menjelaskan, hal yang dibincangkan itu seterusnya akan dibawa ke peringkat menteri masing-masing bagi tujuan pelaksanaan lebih teratur dan tersusun.
Anwar dan Starmer mengadakan mesyuarat dua hala di No. 10 Downing Street, London selama hampir 40 minit.
Pertemuan itu sempena rangka lawatan kerja beliau ke London, bermula 15 hingga 19 Januari ini.
Dalam perkembangan sama, Starmer berkata pertemuan itu satu peluang yang baik selepas enam bulan beliau menggalas jawatan sebagai Perdana Menteri UK.
Jelasnya, pertemuan berkenaan juga penting ketika Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN 2025.
“(Pertemuan ini) merupakan potensi besar untuk kerjasama.
“Saya amat bersemangat untuk berbincang dengan anda mengenai keutamaan dan idea-idea anda.
“Terima kasih banyak atas pelaburan dan komitmen yang anda tunjukkan dalam kerjasama ini,” ujar beliau.
Starmer menambah, UK dan Malaysia mempunyai hubungan rapat dan bersejarah, dan mengalu-alukan syarikat Malaysia terus melabur di UK.




