MALAYSIA menyambut baik gencatan senjata di Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan yang termetri hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menyifatkan perkembangan terbaharu di Gaza ini sebagai tindakan yang sangat dialu-alukan.
Beliau menegaskan, ia merupakan langkah pertama yang penting untuk menamatkan konflik yang sudah berlarutan selama 15 bulan serta mengorbankan begitu banyak nyawa, penderitaan rakyat Palestin dan kemusnahan Gaza.
“Gencatan senjata tersebut akan membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang baharu, yang amat diperlukan untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin yang masih ada di Gaza, terutamanya ketika musim sejuk yang sangat mencabar ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia memuji Kerajaan Republik Arab Mesir, Qatar, Amerika Syarikat serta pengantara masing-masing atas kesungguhan dan komitmen mereka dalam mencapai perjanjian gencatan ini.
“Usaha kini perlu ditumpukan kepada pelaksanaan yang berkesan dan sepenuhnya mengikut komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak yang terlibat,” katanya.
Anwar turut menegaskan, Malaysia kekal teguh bersolidariti dengan Palestin dan melihat peluang bagi masyarakat antarabangsa untuk bersatu mencari penyelesaian kekal kepada salah satu konflik yang paling lama berlarutan di dunia.
“Malaysia dengan tegas menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, mewujudkan sebuah negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya, sebagai matlamat utama untuk mencapai keamanan dan kestabilan yang berkekalan di Timur Tengah,” katanya.




