PROSES pembentukan sebuah negara bangsa yang sejahtera dan terangkum tidak mungkin berhasil tanpa perjuangan konsisten yang panjang.
Secara umumnya, ia bukanlah mudah jika tidak ada kesungguhan yang kemudiannya dipikul dengan penuh rasa ihsan serta tanggungjawab.
Maknanya, perjalanan jauh itu tidak mungkin tercapai jika langkah pertama tidak dimulakan oleh sesiapa.
Jika negara yang sebelumnya dikenali sebagai miskin seperti Bangladesh memiliki tokoh besar bernama Profesor Mohamad Yunus – pengasas Grameen Bank – maka Malaysia juga memiliki seorang pemimpin yang kuat dalam memperjuangkan nasib rakyat kurang berkemampuan.
Pengasas Grameen Bank itu menerima Anugerah Nobel pada tahun 2006 atas usahanya membantu kumpulan miskin di Bangladesh dengan menawarkan pinjaman berskala kecil.
Pinjaman itu khusus bagi mereka memulakan perniagaan kecil dan ternyata polisi berkenaan berjaya membawa keluar sejumlah keluarga miskin dari kepompong kemiskinan.
![]()
Apabila Mohamad Yunus memuji kewujudan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) ketika satu sesi di Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang berlangsung di Davos, Switzerland baru-baru ini, maknanya usaha kerajaan dalam membanteras miskin tegar diakui berada pada landasan yang betul.
Secara tidak diketahui umum, inisiatif memperkenalkan AIM itu dimulakan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1987, ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan.
Anwar mengarahkan satu kajian dilaksanakan sekumpulan pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM) mengenai kesesuaian konsep diamalkan Grameen Bank untuk keperluan tempatan.
Dan daripada hasil kajian itu, maka wujudlah skim pinjaman mikro ditawarkan AIM sehingga hari ini.
Anwar bukan watak asing dalam memperjuangkan nasib golongan miskin di Malaysia.
Beliau pernah mengetuai sekumpulan pelajar mengadakan demonstrasi pada tahun 1974.
Tujuan demonstrasi itu adalah bagi menyuarakan rasa kurang senang dengan kesusahan penoreh getah dari Baling, Kedah.
Semasa memegang jawatan Menteri Pertanian pula, Anwar mencari jalan membantu petani yang sering menjadi mangsa manipulasi harga oleh orang tengah.
Maka diperkenalkan ketika itu konsep Pasar Tani yang seterusnya kekal sebagai pusat sehenti yang banyak membantu petani memasarkan sendiri hasil mereka.
![]()
Dan disebabkan usaha berterusan itu, maka dalam buku ‘Membangun Negara Madani’ yang diterbitkan pada tahun 2022, Anwar secara jelas menyatakan berkaitan konsep IHSAN.
“… perasaan Ihsan itu adalah soal menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain, lalu berusaha untuk mencari jalan bagi memgubatinya…,” demikian sebahagian petikan buku berkenaan.
Terkini, beliau berperang dengan kartel dalam pelbagai bentuk.
Anwar sedaya upaya menyusun kembali ekonomi yang dirosakkan kelompok penindas rakyat sejak sekian lama.
“… Kerangka Madani adalah kemuncak kepada pengalaman selama empat dekad dalam perkhidmatan awam dan belasan tahun yang dihabiskan bagi memikirkan tentang negara ini dan masa hadapannya.
“Madani bukan slogan tetapi adalah satu terjemahan taat setia dan kasih sayang seorang pejuang terhadap negaranya – Malaysia,” tegas cacatan dari buku itu lagi.
Maknanya, segala usaha berterusan dilakukan pasukan Kerajaan Perpaduan dengan berpandukan kerangka Madani itu memerlukan masa pemulihan yang berpanjangan.


