
SELAMA ini sikit-sikit tu ada juga kita bersimpati dan merasa kasihan kepada dia orang ni. Sebabnya dia seagama dan sebangsa dengan kita. Hari-hari dia sebut bab agama, bab dosa pahala dunia akhirat. Kita pun akur sebab bab-bab agama ni kita sememangnya perlu ambil berat. Tak boleh main-main tau.
Atas dasar ini kita bersikap agak bertoleransi kerana sebagai manusia biasa, kita tidak pernah lepas daripada kesilapan dan kealpaan. Adat la kan!
Tetapi apabila benda-benda bodoh itu dibuat berulang kali tanpa memikirkan implikasinya, maka kita pun terfikir adakah mereka yang kita anggap pemimpin yang berwajah agama ini wajar menjadi pemimpin kita?
Perlukah kita juga turut jadi bodoh seperti mereka itu?
Tak sangka pula bab suka fitnah orang ni rupanya sangat sebati dengan amalan pemimpin Perikatan Nasional (PN). Baru-baru ni Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura kena bayar saman RM830,000 kepada tiga orang pemimpin DAP. Selepas tu si Mahyuddin pulak kena bayar RM1.4 juta kepada Guan Eng – semuanya akibat memfitnah.
Nampaknya duit menang saman sudah menjadi suatu sumber pendapatan yang lumayan kepada parti DAP. Mereka tidak perlu lagi bersusah-payah buat majlis jamuan untuk kutip derma jana pendapatan untuk parti.
PN terutamanya Pas nampaknya kena tukar misi utama mereka kepada aktiviti edar tin Milo untuk kutip derma daripada ahli dan masyarakat untuk bayar saman. Bayarannya pulak bukannya kecil. Ia boleh mencecah ratusan ribu malah berjuta akibat disaman pihak lawan. Duit tu kira hangus begitu sahaja – satu faedah pun tak ada.
Kita rakyat biasa ini ingatkan selepas kes Siti Mastura dan Mahyuddin itu, pihak Pas akan sangat berhati-hati dengan apa yang diucapkan agar mereka tidak terjebak ke dalam skandal fitnah lagi. Duh, kita silap rupanya. Pas tidak pernah belajar daripada kesalahan masa lalu dan dilihat tidak serik-serik mengulangi perbuatan bodoh mereka suka memfitnah orang.
Kali ini fitnah itu ditaburkan oleh pemfitnah bersiri Pas iaitu Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang mendakwa Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, sebagai anak kepada pengasas YTL Corporation Berhad, Yeoh Tiong Lay. Hannah Yeoh ialah seorang lagi pemimpin DAP yang berkata, beliau akan mengambil tindakan terhadap Razman. Walaupun Razman memohon maaf dan mengaku tersilap atas kenyataannya, Pas dijangka akan berdepan dengan satu lagi masalah besar yang berpunca daripada keceluparan mulut para pemimpinnya.
Kali ini agak sukar untuk kita bersimpati dengan Pas kerana si Razman ini memang terkenal kuat memfitnah orang. Kita juga tidak yakin Pas dan Bersatu mampu mengemudi negara kiranya kita memilih mereka pada PRU16 nanti.
*Penulis, Ali Ibrahim, adalah seorang pemerhati politik


