APA yang kita boleh buat dalam masa 286 bulan jika diberi kuasa menjadi pemerintah atau sang penguasa atau Perdana Menteri untuk sesebuah negara?
Mungkin kita boleh bina tiga atau empat bangunan ikonik seperti menara berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) sebagai contoh.
Atau membuka lebih banyak lapangan terbang bertaraf dunia seumpama Kuala Lumpur International Airport (KLIA) – sebagai contoh juga – atau kita anjur kejohanan sukan mega seperti Sukan Komanwel atau Olimpik.
Atau kenapa bukan kita anjur kedua-dua sekali. Sukan Komanwel dan Olimpik selang empat tahun.
Tidak mengapalah, mungkin bagi orang tertentu, tempoh 286 bulan itu belum cukup untuk berbuat semua yang disebutkan di atas.
Maka, tidak pelik apabila ada orang yang belum puas memegang tampuk kuasa, walaupun pernah memiliki peluang untuk berbuat segala jenis benda yang kononnya dia ‘tak sempat’ nak laksanakan.
Tapi itulah, tempoh 286 bulan memang ‘tak cukup’ kalau dia buat terlalu banyak benda untuk kesejahteraan negara.
Lainlah kalau orang berkaitan mengambil ruang itu dengan menambahkan dana kekayaan untuk orang tertentu atau sahabat handai atau anak-beranak mereka.
Takkanlah dia bersikap demikian sepanjang 286 bulan berkuasa.
Apatah lagi orang itu sangat kuat semangat Melayu dan begitu memperjuangkan kebajikan kaum Bumiputera.
Mustahil dan sangat tidak logik.
Jadi, apabila diumumkan menerusi satu kajian oleh badan bebas bahawa terdapat anak orang berkenaan memiliki harta lebih RM1 bilion, pelik juga rasa di hati rakyat jelata.
Mungkin mereka pandai berniaga, pandai berurusan dan pandai cari peluang untuk berjaya.
Mungkin juga hasil kajian itu cuma atas kertas, tidak mewakili realiti betapa hidup ini sebenarnya keras.
Kalau kita berusaha selama 286 bulan, mungkin juga kita boleh simpan harta berbilion.
Tapi itulah masalahnya, kita bukan sesiapa, bukan anak atau ahli keluarga atau sahabat handai pemimpin utama mana-mana negara.
Maka selepas 286 bulan atau 22 tahun ditambah 22 bulan, kita masih kekal reda dan meneruskan hidup seperti biasa.
Mungkin kita belum keras berusaha seperti orang lain, jadi kita pun teruskan hidup seperti biasa.


