
PUTRAJAYA – Kerjasama antara Malaysia dan Vietnam dalam menyelesaikan isu eksplorasi perikanan laut dalam membawa implikasi besar terhadap keselamatan maritim, pengurusan sumber perikanan dan kestabilan geopolitik serantau.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, dasar persefahaman itu berpotensi mengurangkan ketegangan pencerobohan nelayan asing, khsususnya di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Bagaimanapun, beliau berpandangan, keperluan untuk kedua-dua negara mewujudkan Memorandum Persefahaman (MOU) dalam sektor perikanan selain mekanisme pemantauan bersama bagi memastikan nelayan masing-masing tidak melanggar perundangan maritim yang telah ditetapkan.
“Sejauh mana Vietnam benar-benar komited untuk mengawal nelayannya, memandangkan terdapat rekod kes berulang di mana bot nelayan Vietnam masih beroperasi secara haram di perairan Malaysia walaupun selepas beberapa rundingan diplomatik serta tindakan penguatkuasaan, seperti yang dibuktikan dengan sekatan Kesatuan Eropah (EU).
“Ini menunjukkan bahawa tanpa mekanisme penguatkuasaan yang lebih ketat dan tindakan tegas terhadap pencerobohan, kerjasama ini berisiko menjadi sekadar retorik diplomatik tanpa kesan yang nyata terhadap keselamatan maritim Malaysia,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.
Terdahulu, Kerajaan Malaysia dan Vietnam memberikan komitmen bagi menyelesaikan isu eksplorasi perikanan laut dalam antara kedua-dua negara yang didakwa sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Malaysia dan Vietnam bersetuju untuk bekerjasama menyelesaikan masalah tersebut susulan pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Vietnam, Jeneral Luong Cuong, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, pertukaran data satelit, pemantauan maritim serta latihan bersama pasukan penguatkuasaan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu bagi mengurangkan aktiviti perikanan haram (IUU fishing) yang tidak dilaporkan
Jelasnya, mekanisme tersebut perlu dilaksana secara holistik serta sistematik agar tidak menjadi indah khabar dari rupa, memandangkan Malaysia dan Vietnam mempunyai keupayaan penguatkuasaan yang berbeza.
“Malaysia mempunyai aset maritim yang lebih moden dan keupayaan kawalan yang lebih ketat, sementara Vietnam pula masih berdepan isu kebergantungan tinggi terhadap perikanan sebagai sumber ekonomi utama, yang menyebabkan banyak nelayan mereka sanggup melanggar undang-undang untuk terus beroperasi di kawasan yang kaya dengan hasil laut.
“Oleh itu, tanpa adanya mekanisme pemantauan bersama yang benar-benar berkesan serta kesediaan Vietnam untuk mengambil tindakan keras terhadap nelayannya sendiri, masalah terbabit mungkin akan terus berlarutan tanpa penyelesaian,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Ashikin menegaskan, walaupun kerjasama berkaitan isu eksplorasi perikanan laut memperkukuh hubungan diplomatik, namun kerjasama dengan Vietnam mempunyai risiko yang menguntungkan negara terbabit, sehingga meminggirkan keselesaan nelayan tempatan.
“Dari perspektif strategik, ia juga perlu dilihat dalam konteks persaingan kuasa besar di Laut China Selatan, khususnya antara China dan negara-negara ASEAN. Vietnam mempunyai sejarah konflik maritim dengan China. Kerjasama boleh dilihat sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh pengaruh serantau ASEAN bagi menghadapi tekanan daripada kuasa luar.
“Namun adakah Malaysia bersedia untuk menghadapi kemungkinan tindak balas dari China sekiranya kerjasama ini dilihat sebagai satu bentuk penentangan terhadap kepentingan China di Laut China Selatan. Malaysia selama ini mengambil pendekatan yang lebih pragmatik dan tidak konfrontasional dalam isu maritim dengan China.
“Berbeza dengan Vietnam yang sering bersikap lebih tegas dalam mempertahankan tuntutannya. Oleh itu, jika kerjasama Malaysia dan Vietnam dilihat ancaman kepada kepentingan China, Malaysia mungkin terpaksa berhadapan dengan tekanan diplomatik dan ekonomi dari Beijing, yang boleh memberi kesan kepada hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara,” katanya.
Sehubungan itu, Nur Ashikin menegaskan, Malaysia perlu menggunakan pendekatan diplomasi maritim bersifat lebih strategik, pemantauan bersama lebih ketat, serta mekanisme rundingan yang benar-benar melindungi kepentingan Malaysia selain sebagai kunci utama dalam mencapai penyelesaian yang mampan bagi kedua-dua negara.





