
BAGAN SERAI – Kerang rebus, kerang bakar dan pelbagai jenis siput terus menjadi ‘menu tradisi’ pilihan untuk moreh dalam kalangan masyarakat di Perak Utara setiap kali menjelang Ramadan, khususnya di sekitar Bagan Serai dan Parit Buntar.
Tradisi menikmati hidangan berasaskan makanan laut itu bukan sekadar memenuhi selera, malah sudah menjadi budaya masyarakat setempat yang menantikan suasana hanya hadir sebulan dalam setahun.
Buat julung kalinya, Pekan Ramadan di Jalan Matang Buluh di sini muncul sebagai lokasi tumpuan sejak hari pertama Ramadan, menawarkan pengalaman menjamu selera dalam suasana meriah dan santai.
Seorang pengunjung, Siti Salmah Abdul Rahman, 48, berkata selain hidangan utama berasaskan kerang dan siput, pengunjung turut mempunyai pelbagai pilihan juadah lain yang memenuhi cita rasa seisi keluarga.
“Di Bagan Serai memang ada banyak ‘port kerang’, tetapi kali ini kami sekeluarga memilih Pekan Ramadan kerana suasananya lebih meriah.
“Walaupun pada bulan lain kita masih boleh menikmati kerang rebus, namun sudah menjadi tradisi masyarakat di sini untuk menjadikannya juadah moreh ketika Ramadan.
“Tambahan pula, di sini ada pelbagai gerai menawarkan laksa, mi kari, char kuey teow, ubi rebus dan yong tau foo, jadi senang untuk pilih macam-macam makanan dalam satu tempat,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press (TMP).
Selain menjadi pilihan penduduk tempatan, ‘port kerang’ di sekitar Bagan Serai dan Parit Buntar turut menarik pengunjung dari pelbagai daerah di Perak serta negeri berhampiran yang sanggup datang semata-mata untuk menikmati keenakan makanan laut segar.
Lokasi Pekan Ramadan yang terletak bersebelahan Galeri Perabot Ali dan Kuarters Penghulu Bagan Serai juga menjadi faktor penarik, dengan akses laluan yang mudah serta kemudahan parkir luas dan percuma, sekali gus memberi keselesaan kepada pengunjung untuk menikmati suasana moreh bersama keluarga dan rakan-rakan.







