MALAYSIA memperoleh pelbagai manfaat strategik susulan penyertaan rasmi sebagai Negara Rakan BRICS bermula 1 Januari lalu, termasuk dalam aspek perdagangan, pelaburan, inovasi teknologi serta geopolitik.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, penyertaan tersebut membolehkan Malaysia meneliti peluang untuk memperkukuh akses pasaran dan potensi ekonomi, di samping menilai implikasi pelaburan langsung asing (FDI) daripada negara anggota BRICS.
Menurut beliau, gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara anggota BRICS bagi tahun 2024 dianggarkan mencecah hampir AS$30 trilion, iaitu sekitar 27 peratus daripada jumlah KDNK dunia.
Tengku Zafrul berkata, penyertaan Malaysia dalam BRICS berpotensi meningkatkan sumbangan eksport kepada pertumbuhan KDNK negara, menggalakkan perdagangan dengan negara anggota, memperluas jaringan eksport, serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan serantau dan global.
Dari segi pelaburan strategik, beliau berkata, kerjasama menerusi BRICS dapat menarik aliran FDI daripada negara anggota ke Malaysia, terutamanya dalam sektor keutamaan seperti tenaga boleh baharu, ekonomi digital, pembuatan berteknologi tinggi dan infrastruktur mampan.
“Usaha ini diyakini mampu mempercepat transformasi ekonomi negara serta menyokong penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pembangunan kapasiti industri tempatan.
“Berdasarkan penelitian kementerian, jumlah dagangan Malaysia dengan negara anggota BRICS bagi tahun 2024 dianggarkan bernilai RM818 bilion, iaitu merangkumi 35.2 peratus daripada jumlah dagangan global negara.
“Dari segi pelaburan pula, sebanyak RM104.9 bilion pelaburan dari negara anggota BRICS telah dilaksanakan di Malaysia sehingga tahun 2024,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai manfaat strategik yang sudah dan dijangka diperoleh Malaysia susulan penyertaan rasmi sebagai Negara Rakan BRICS bermula Januari lalu.
Tambahnya lagi, BRICS juga menyediakan platform bagi kerjasama teknologi dalam bidang Revolusi Industri Keempat (4IR), termasuk kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, teknologi blok rantai dan keselamatan siber.
Beliau berkata, Malaysia mendapat memanfaatkan peluang tersebut untuk memperkukuh ekosistem inovasi negara, memajukan industri teknologi tempatan serta membina keupayaan dalam bidang masa hadapan yang penting untuk kemampanan dan daya saing jangka panjang negara.
Dari sudut geopolitik, penyertaan dalam BRICS turut memperluas ruang diplomasi Malaysia di peringkat global, selaras dengan dasar luar negara yang bebas, aktif dan pragmatik.
“Penyertaan ini membolehkan Malaysia memainkan peranan yang lebih berpengaruh dalam membentuk perbincangan global, terutamanya berkaitan pembangunan inklusif, reformasi institusi antarabangsa serta menangani cabaran bersama seperti perubahan iklim dan keselamatan makanan.
“Perkara ini turut dibuktikan dengan penyertaan Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS Ke-17, yang menyaksikan pengumuman dua deklarasi penting, iaitu ‘The Global Governance of AI’ dan ‘Leaders Framework Declaration on Climate Finance’,” katanya.
Ujarnya, deklarasi berkenaan disambut baik oleh Malaysia kerana selari dengan Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan, Garis Panduan Tadbir Urus AI serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut berpeluang menggunakan platform BRICS untuk mengetengahkan keutamaan dan kepentingan ASEAN di pentas antarabangsa.
“Malaysia turut menekankan kepentingan jalinan kerjasama antara ASEAN dan BRICS untuk memperkukuh kerjasama serantau serta membina perkongsian ekonomi yang mampu menyumbang kepada pembentukan persekitaran global yang lebih adil dan mampan.
“Status Malaysia sebagai Negara Rakan BRICS membolehkan suara negara lebih didengari di peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan profil dan keterlihatan Malaysia,” katanya.
Justeru beliau berkata, perkara ini selaras dengan usaha Malaysia untuk membina persekitaran global yang lebih kondusif, berdaya saing, progresif dan mencerminkan pendekatan dasar luar negara yang berteraskan multilateralisme dalam menangani cabaran global yang semakin kompleks dan mendesak.




