
RANG Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen dijangka mewajibkan semua penyedia platform membuat potongan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) daripada setiap transaksi pendapatan pekerja gig.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kadar atau peratus potongan caruman itu akan ditetapkan oleh menteri melalui peraturan yang bakal dikeluarkan kelak.
“Perkeso akan memperkukuh mekanisme pemantauan serta menjalankan audit berkala terhadap penyedia platform bagi memastikan kewajipan perlindungan keselamatan sosial dipatuhi sepenuhnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN–Pengkalan Chepa) berhubung cadangan kerajaan untuk menjadikan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso mandatori kepada pekerja dalam ekonomi digital.
Menurut Sim, sistem digital integrasi sedang dibangunkan bagi memudahkan penyelarasan data pendaftaran caruman pekerja gig secara berpusat.
Dalam pada itu, beliau berkata, KWSP sebelum ini telah memperkenalkan i-Saraan, iaitu skim caruman sukarela yang memberi peluang kepada pekerja sektor ekonomi gig serta individu bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap untuk menyertai inisiatif kerajaan bagi tujuan persaraan.
“Namun begitu, keputusan untuk mewajibkan caruman KWSP kepada pekerja gig adalah tertakluk kepada pertimbangan Kementerian Kewangan,” jelasnya.
Sim turut memaklumkan bahawa Majlis Perundingan Gig yang ditubuhkan sebelum ini berperanan menasihati serta mengemukakan syor kepada kerajaan berkaitan kadar pendapatan minimum, formula tarikh kuat kuasa, penyemakan perintah, dan perkara lain yang melibatkan pekerja gig serta entiti kontrak.
“Majlis ini berfungsi secara tripartit dengan melibatkan penyertaan wakil pekerja gig, wakil majikan atau penyedia platform, serta kerajaan,” katanya.
Terdahulu, beliau dipetik berkata bahawa RUU berkenaan memperuntukkan pelaksanaan perlindungan keselamatan sosial secara lebih menyeluruh kepada golongan pekerja gig melalui Perkeso, dan akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.





