
KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan para peniaga jualan makanan dan minuman yang menawarkan perkhidmatan pada harga berpatutan akan terus dapat menikmati subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG).
KPDN hari ini mengadakan Sesi Libat Urus Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021 melibatkan golongan sasar iaitu persatuan-persatuan peniaga makanan dan minuman bagi negeri Sabah.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia bertujuan mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada persatuan-persatuan yang terlibat berkaitan dengan cadangan KPDN dalam membuat pindaan kepada peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam PPKB (Pindaan) 2021 yang akan dilaksanakan.
“Berbeza dengan PPKB (Pindaan) 2021 yang hanya membenarkan penggunaan silinder LPG bersubsidi tidak melebihi 42 kilogram pada satu-satu masa, pindaan yang kita laksanakan ini akan mengambil kira keperluan para peniaga kecil dan mikro yang terkait dengan perniagaan makanan dan minuman.
“Para peniaga jualan makanan dan minuman yang menawarkan perkhidmatan pada harga yang berwajaran tidak perlu khuatir kerana mereka akan dijamin terus mendapat manfaat subsidi LPG.
“Saya ingin menyebut di sini bahawa para peniaga makanan minuman kecil dan mikro ini tidak perlu khuatir selagi mereka menjual makanan dan perkhidmatan mereka itu pada harga yang berwajaran mereka akan dijamin terus dapat memanfaatkan subsidi LPG ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media, sebelum menghadiri Sesi Libat Urus PPKB (Pindaan 2021), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Isnin.
Jelasnya, selain memberi pengiktirafan kepada keperluan para peniaga mikro dan kecil sektor makanan dan minuman pindaan ini juga akan melihat kepada aspek mekanisme kawalan dalam konteks untuk memastikan supaya subsidi tersebut tidak ada ketirisan terutama dalam aspek yang terkait dengan penyeludupan dan juga penyelewengan.
Armizan berkata, KPDN sentiasa mengalu-alukan pandangan sama ada melalui sesi libat urus yang akan dilaksanakan di setiap negeri atau menghantar memorandum cadangan mereka secara langsung kepada kementerian.
“Sekiranya mereka tidak berkesempatan untuk hadir dalam sesi libat urus, mereka juga boleh menghantar memorandum cadangan mereka secara langsung kepada kementerian.
“Jadi kita alu-alukan, kita ada tempoh sehingga selesainya Ops Gasak pada 31 Oktober ini untuk mereka memanjangkan syor tersebut,” ujarnya.







