
KANOWIT – Budaya memburukkan sesama bangsa dan memperlekehkan pemimpin sendiri dalam kalangan masyarakat tempatan perlu dihentikan kerana ia boleh menjejaskan keharmonian serta meruntuhkan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin yang telah dipilih secara sah dan demokratik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana menegaskan perbuatan menghasut dan memburuk-burukkan sesama bangsa bukan sahaja mencemar maruah individu malah menjejaskan imej masyarakat secara keseluruhan.
“Perbuatan menghasut sesama bangsa merupakan sesuatu yang tidak baik dan memberi kesan mendalam terhadap maruah serta perpaduan komuniti,” katanya ketika berucap pada Majlis Kesyukuran Pelantikan Pemancha Masyarakat Iban di Kanowit, baru-baru ini.
Beliau turut mengingatkan barisan kepimpinan akar umbi seperti penghulu, pemancha, kaunselor, kapitan dan tuai rumah supaya menjadi contoh teladan dengan menampilkan sikap berdisiplin, berbudi bahasa dan berintegriti dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Dalam ucapannya, Anyi turut menekankan keperluan setiap pemimpin mempunyai visi dan perancangan strategik bagi memastikan urusan pentadbiran di peringkat komuniti dapat dijalankan dengan lebih teratur.
Sebagai contoh, beliau menyentuh isu peningkatan kes perceraian di Kanowit dan mencadangkan agar para ketua masyarakat memainkan peranan merangka program bagi membantu mengurangkan masalah tersebut.
“Kita perlu mencari punca dan berfikir bagaimana untuk mengurangkan kes perceraian melalui program dan inisiatif komuniti yang berkesan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Anyi turut mengulas keadaan politik di kawasan DUN N50 Machan yang disifatkan stabil dan harmoni setelah berada di bawah pentadbiran kerajaan semasa selama 12 penggal.
Beliau menyeru rakyat di DUN Ngemah agar mencontohi kesepakatan tersebut dan mengelakkan perbuatan memburukkan antara satu sama lain demi kepentingan peribadi.
“Perbuatan memburuk-burukkan sesama sendiri hanya akan merugikan masyarakat. Kita sepatutnya bersatu demi pembangunan dan kemajuan bersama,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat di Kanowit agar terus menitikberatkan pendidikan anak-anak sebagai pelaburan masa depan bagi memperkukuh ekonomi keluarga.
Anyi turut mengumumkan peruntukan Cek MRP Fasa 1 Tahun 2026 kepada Rumah Panjang Edmond Kalai sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan di kawasan berkenaan.







