
KUANTAN – Seorang wanita putus ibu jari tangan, luka di kepala dan kaki manakala ibunya cedera di kepala serta tangan dipercayai dicederakan pembantu rumah warga asing menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di sebuah rumah di Kotasas di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8.43 pagi itu, suspek berusia 44 tahun dipercayai turut mencederakan diri sendiri dengan kesan kelar pada bahagian tangan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika seorang mangsa, Wong Siew Kwan, 57, berada di dalam bilik tidur di tingkat atas rumah dan terdengar jeritan anaknya, Lee Qi Zhen, 28, yang berada di tingkat bawah.
Katanya, wanita itu segera turun sebelum ternampak anak perempuannya sedang bergelut dengan pembantu rumah di ruang tamu.
“Wanita yang bekerja sebagai akauntan itu terus ke arah pembantu rumahnya itu untuk meleraikan pergaduhan tersebut, namun suspek bertindak melibas pisau dan terkena kepalanya.
“Selepas mangsa berjaya merampas pisau yang digunakan, suspek bertindak lari ke dapur dan cuba mengambil pisau lain,” katanya.
Ashari berkata, mangsa dan anaknya cuba menghalang suspek hingga berlaku pergelutan di ruang dapur.
“Semasa pergelutan berlaku, wanita itu bertindak mengambil semua pisau yang ada di ruang dapur dan mencampakkannya ke luar melalui tingkap sebelum menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan,” ujarnya.
Beliau berkata, punca kejadian dipercayai disebabkan suspek mengalami tekanan bekerja dengan majikannya itu, namun punca sebenar masih dalam siasatan.
“Difahamkan suspek pernah mengadu kepada ejen tentang tekanan bekerja di rumah majikannya itu yang lebih besar berbanding rumah dahulu selain suasananya yang panas dan tidak selesa.
“Suspek sudah bekerja selama 10 bulan dan hanya mangsa dan suspek tinggal di rumah tersebut, bagaimanapun semasa kejadian mereka bertiga di situ,” katanya.
“Mangsa dan suspek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk mendapatkan rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di mahkamah esok,” katanya.







