Peluasan SST: 48 premis diperiksa, tujuh notis dikeluarkan KPDN Perak

IPOH – Sebanyak 48 premis perniagaan di Perak diperiksa manakala tujuh notis bertulis dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri selepas disyaki menaikkan harga barang secara tidak munasabah.

Menurut Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, notis tersebut dikeluarkan hasil pemeriksaan pihaknya menerusi pelaksanaan Ops Kesan 4.0 yang bermula sejak 1 Julai lalu, susulan semakan semula kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan (SST).

“Pemeriksaan turut melibatkan analisis ke atas 239 unit simpanan stok (SKU) bagi tujuan pengumpulan data harga dan pemantauan sebarang aktiviti pencatutan di pasaran,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjalankan tinjauan Ops Kesan 4.0 di Pasar Raya TF Value-Mart Tambun, di sini pada Khamis.

Jelas Kamalludin, premis yang dikenakan notis terdiri daripada enam kedai runcit dan sebuah pasar raya yang beroperasi di beberapa daerah seperti Ipoh, Manjung, Taiping, Tapah dan Teluk Intan.

“Setelah dikenal pasti wujud unsur kenaikan harga pada kadar tidak munasabah, notis telah dikeluarkan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723),”jelasnya.

Beliau berkata, peniaga yang menerima notis berkenaan diwajibkan mengemukakan maklum balas kepada KPDN dalam tempoh enam hari bekerja.

“Kegagalan memberi penjelasan boleh membawa kepada tindakan undang-undang.

“Mereka perlu menyerahkan butiran lengkap berkenaan harga barangan yang dijual, termasuk kos, margin keuntungan serta pendaftaran perkhidmatan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi tujuan analisis lanjut,”ujarnya.

Sekiranya didapati bersalah, individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi syarikat, denda boleh mencecah RM500,000, dan bagi kesalahan berulang, jumlah tersebut boleh meningkat kepada RM1 juta.

Mengulas lanjut, Kamalludin menjelaskan, pelaksanaan Ops Kesan 4.0 bertujuan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan susulan peluasan skop SST yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Sebanyak 195 pegawai penguat kuasa bersama 75 pegawai pemantau harga digerakkan ke seluruh Perak untuk menjalankan pemeriksaan harian serta mengumpul data harga barangan keperluan.

“Setakat ini, KPDN Perak hanya menerima satu aduan rasmi berkaitan dakwaan kenaikan harga makanan di sebuah premis di Meru.

“Kami sedang meneliti maklumat kos daripada peniaga terbabit bagi memastikan sama ada terdapat unsur kenaikan harga yang tidak wajar,”katanya.

Related Posts

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

KANGAR – Ketua Bahagian UMNO Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya menggesa kerajaan negeri tampil memberikan penjelasan jelas berhubung penangguhan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang dijadualkan berlangsung…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

SEMPORNA – Masalah jeti haram, pengusaha pelancongan tanpa lesen dan keselamatan pelancong kini menjadi fokus utama kerajaan Sabah. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, kementerian mengambil…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Nyatakan alasan kukuh tunda sidang DUN – Fathul Bari

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

Jeti haram, pelancong berisiko: KePKAS bertindak tegas bersih Semporna

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

‎Koperasi pemacu ekonomi rakyat, sumbang RM81.62 bilion – KUSKOP ‎

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

ECRL perlu kaji semula cadangan 70 peratus kargo, 30 peratus penumpang

Inisiatif Rumah Bangsa perkukuh perpaduan UMNO – Wan Rosdy

Inisiatif Rumah Bangsa perkukuh perpaduan UMNO – Wan Rosdy

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM

Peruntukan pembangunan Kelantan dinaikkan kepada RM8 bilion – PM