
PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa melaporkan serangan udara, bedilan dan tembakan Israel terus berlaku di seluruh Semenanjung Gaza dalam tempoh 24 jam lalu, sekali gus meningkatkan risiko terhadap keselamatan orang awam, khususnya di kawasan perumahan.
Memetik kenyataan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, terdapat lebih banyak laporan mengenai serangan udara, pengeboman, bedilan artileri, tembakan tentera laut serta insiden tembakan yang direkodkan sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, serangan itu turut menyasarkan kawasan kediaman, sekali gus meletakkan orang awam dalam keadaan bahaya dan menambah kesengsaraan yang telah mereka tanggung sejak lebih 28 bulan lalu, lapor Anadolu.
Beliau menegaskan orang awam dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa tanpa mengira lokasi mereka, termasuk di kawasan berhampiran atau merentasi garis pemisah ketenteraan.
“Orang awam dan infrastruktur awam mesti sentiasa dilindungi dalam setiap operasi ketenteraan, dan segala langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengelakkan kemudaratan terhadap mereka,” katanya dalam sidang media.
Dalam perkembangan berkaitan, Dujarric memaklumkan rakan kerjasama PBB terus menyalurkan bantuan kecemasan kepada ribuan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Minggu lalu sahaja, lebih 5,600 keluarga menerima bantuan perlindungan kecemasan, termasuk hampir 5,000 keping kanvas perlindungan dan lebih 12,000 barangan tempat tidur dalam tempoh sedikit melebihi seminggu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penyelesaian yang lebih kekal amat diperlukan, termasuk kebenaran membawa masuk jentera serta bahan binaan bagi membaiki infrastruktur yang rosak.
Sehubungan itu, PBB menggesa sekatan Israel terhadap operasi kemanusiaan di Gaza ditarik balik sepenuhnya.
Dalam masa sama, Israel dilaporkan terus melakukan ratusan pelanggaran gencatan senjata sejak perjanjian dimeterai Oktober lalu, termasuk bedilan dan tembakan yang mengorbankan serta mencederakan ratusan orang awam Palestin.
Pelanggaran itu berterusan meskipun Amerika Syarikat pada Januari mengumumkan fasa kedua perjanjian gencatan senjata telah bermula, yang merangkumi pengunduran tambahan tentera Israel dari Gaza serta pelaksanaan usaha pembinaan semula.
PBB menganggarkan kos pembinaan semula Gaza mencecah kira-kira AS$70 bilion.
Gencatan senjata itu menamatkan serangan Israel yang bermula pada 8 Oktober 2023 dan berlarutan selama dua tahun, mengorbankan lebih 71,000 rakyat Palestin serta mencederakan lebih 171,000 yang lain, selain memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur di Gaza.








