Sepanyol kecam langkah Israel ubah undang-undang di Tebing Barat

KERAJAAN Sepanyol mengecam keras langkah terbaharu Israel berkaitan wilayah Tebing Barat yang diduduki, sambil memberi amaran tindakan itu melanggar undang-undang antarabangsa serta mengancam kebolehlaksanaan penubuhan sebuah negara Palestin pada masa hadapan.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Kementerian Luar Sepanyol mengkritik keputusan Israel memansuhkan undang-undang yang mengehadkan pemerolehan hartanah dan pendaftaran pemilikan tanah di Tebing Barat, selain melaksanakan langkah pentadbiran baharu yang memberikan pihak berkuasa Israel bidang kuasa terhadap pelanggaran berkaitan pengurusan air, kerosakan alam sekitar dan tapak arkeologi di Kawasan A dan B.

Madrid menegaskan, keputusan berkenaan mengubah status quo di Tebing Barat serta melemahkan kesatuan wilayah dan politik sebuah negara Palestin yang berasaskan sempadan 1967, merangkumi Gaza dan Tebing Barat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Kerajaan Sepanyol turut mengulangi kebimbangannya terhadap siri keputusan Israel yang memperluas penempatan haram di Tebing Barat, yang disifatkan sebagai menyalahi undang-undang antarabangsa.

Dalam konteks itu, Sepanyol mengingatkan kecamannya terhadap kelulusan Israel pada Disember lalu ke atas 19 penempatan baharu, selain perkembangan projek E1, iaitu pelan penempatan kontroversi Israel yang terletak di timur Baitulmaqdis di Tebing Barat yang diduduki.

“Langkah-langkah ini, termasuk sebarang percubaan mengambil alih wilayah, adalah tidak boleh diterima dan berpotensi menjejaskan usaha semasa untuk melaksanakan Pelan Keamanan serta gencatan senjata, sekali gus meningkatkan risiko tercetusnya gelombang keganasan baharu,” menurut kenyataan itu, lapor Anadolu.

Sepanyol menggesa Israel mematuhi kewajipannya sebagai kuasa pendudukan di bawah Konvensyen Geneva Keempat serta menamatkan dasar peluasan wilayah dan budaya impunitas yang dinikmati oleh peneroka haram.

Terdahulu, kabinet keselamatan Israel pada Ahad meluluskan beberapa langkah yang bertujuan mengubah rangka kerja perundangan dan sivil di Tebing Barat bagi memperkukuh kawalan Israel ke atas wilayah berkenaan.

Penyiar awam Israel, KAN, melaporkan keputusan itu termasuk pemansuhan undang-undang yang melarang penjualan tanah di Tebing Barat kepada individu persendirian Israel, pembukaan rekod pemilikan tanah serta pemindahan kuasa meluluskan permit pembinaan di sebuah blok penempatan berhampiran Hebron daripada pihak berkuasa perbandaran Palestin kepada pentadbiran sivil Israel.

Related Posts

Kapal tangki China tembus sekatan AS di Selat Hormuz

TEHERAN – Sebuah kapal tangki China yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) dilaporkan berjaya melalui Selat Hormuz pada Selasa, walaupun terdapat sekatan AS ke atas laluan sempit strategik itu,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
AS, Iran gagal capai kata sepakat selepas 21 jam rundingan

ISLAMABAD – Amerika Syarikat (AS) dan Iran gagal mencapai sebarang persetujuan selepas lebih 21 jam rundingan damai bersejarah yang berlangsung di Pakistan. Naib Presiden AS, JD Vance, berkata rundingan yang…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

Kg Bahagia digazet, buka laluan kepada pembangunan lebih sistematik

3 maut ditembak dalam restoran

3 maut ditembak dalam restoran

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

PRU16: Harapan Rakyat kerjasama, pastikan kemenangan GRS

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Kebakaran Sandakan: 1,000 rumah terjejas, lebih 9,000 penduduk terlibat

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

Lelaki tempatan ditahan positif dadah dalam Operasi Khas di Roban

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16

UMNO Jerantut yakin mampu cabar pembangkang dalam PRU16