
KUANTAN – Sebuah keluarga diuji perkhabaran duka pada hari pertama Ramadan apabila seorang ahli keluarga mereka yang juga pelajar orang kurang upaya (OKU) kategori lembam ditemui maut di Sungai Siam, FELDA Kota Gelanggi Tiga, dekat Jerantut, pagi tadi.
Mayat mangsa yang juga anak yatim piatu, Muhammad Amir Mursyid Shamli, 16, dijumpai terapung di sungai sekitar jam 11.55 pagi.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad, berkata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar itu didakwa lemas ketika mandi sungai bersama dua rakannya, kira-kira jam 1.30 tengah hari Jumaat.
Berdasarkan keterangan awal, beliau berkata, bapa saudara mangsa memaklumkan telah mengambil pelajar itu di asrama sekolah untuk pulang ke rumah di FELDA Kota Gelanggi Satu, kira-kira jam 12.30 tengah hari.
“Setelah tiba di rumah, mangsa didakwa keluar semula untuk menunaikan solat Jumaat di masjid dalam kawasan FELDA itu.
“Selepas itu, mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah. Namun, ahli keluarganya mendakwa tidak menyedari mangsa tiada di rumah,” katanya.
Zukri berkata, saksi dan dua rakan mangsa mendakwa bahawa pelajar itu lemas ketika mandi di sungai itu, namun mereka tidak berani membantu kerana takut turut lemas.
“Saksi dan dua rakan itu didakwa terus pergi dari tempat kejadian serta tidak melaporkannya kepada sesiapa hinggalah mayat mangsa ditemui pada pagi tadi,” katanya.
Beliau berkata, semua saksi kejadian dipanggil ke Balai Polis Jerantut bagi rakaman percakapan dan siasatan masih diteruskan.







