
KOTA KINABALU – Peguam kepada ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir menggesa orang ramai menghentikan spekulasi liar dan komen tidak membantu berhubung kes kematian pelajar berusia 13 tahun itu, demi menjaga maruah keluarga serta kelancaran siasatan.
Peguam, Hamid Ismail berkata, anak guamnya, Noraidah Lamat, kini berada dalam keadaan tertekan akibat kehilangan anak tunggalnya dan memerlukan sokongan moral daripada masyarakat.
“Saya mohon kepada semua agar tidak membuat spekulasi liar atau menyebarkan komen yang tidak membantu.
“Ibu Zara sedang melalui tempoh yang amat sukar dan memerlukan doa serta kata-kata positif daripada orang ramai,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Karamunsing, di sini, pada Khamis.
Terdahulu, Noraidah menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan kes tersebut. Telefon berkenaan mengandungi beberapa rakaman audio perbualan antara Allahyarham Zara dan ibunya.
Menurut Hamid, semua rakaman itu akan dihantar ke Bahagian Forensik di Cheras untuk dianalisis, selain dianggap sebagai bahan bukti penting dalam membantu siasatan lanjut.
Beberapa barang peribadi milik Allahyarham, termasuk pakaian yang dipakai semasa kejadian, turut diserahkan lebih awal kepada pihak berkuasa.
Penyerahan telefon dan kad SIM kira-kira jam 4.35 petang itu dilakukan sendiri oleh Noraidah dan disaksikan wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Beliau lebih selesa untuk menyerahkan sendiri. Segala kandungan penting dalam telefon tersebut juga telah disalin dan disimpan oleh beliau,” kata Hamid.








