
KOTA KINABALU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengerahkan seramai 926 pegawai dan anggota bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, penugasan tersebut merangkumi kekuatan di lapangan serta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bagi menjamin proses demokrasi berjalan dalam keadaan aman dan terkawal.
Menurutnya, PRK Parlimen Kinabatangan melibatkan tiga DUN iaitu Lamag, Sukau dan Kuamut, manakala PRK DUN hanya melibatkan DUN Lamag sahaja.
“PDRM telah membuat perancangan rapi bagi mengatur gerak penugasan sepanjang PRK ini.
“Proses penamaan calon akan berlangsung pada 10 Januari diikuti pengundian awal pada 20 Januari manakala hari pembuangan undi ditetapkan pada 24 Januari,” katanya dalam satu sidang media, di sini pada Khamis.
Katanya, seramai 837 pegawai dan anggota akan ditempatkan bagi penugasan di lapangan melibatkan tiga DUN dan satu Parlimen berkenaan.
Jauteh berkata, jumlah itu meningkat kepada 926 anggota keseluruhan termasuk penugasan di peringkat IPK.
Tambahnya, bagi hari penamaan calon sahaja, PDRM akan menggerakkan seramai 646 pegawai dan anggota, termasuk bantuan daripada daerah-daerah berhampiran bagi memastikan kelancaran kawalan keselamatan.
“Untuk makluman, Kuamut berada di bawah IPD Beluran, manakala Lamag dan Sukau di bawah IPD Kinabatangan.
“Sehubungan itu, kita akan mendapatkan bantuan tambahan daripada IPD Sandakan, IPD Lahad Datu, IPD Semporna, serta Batalion 15 Pasukan Gerakan Am (PGA) Sandakan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat setempat agar terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak PDRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan PRK ini berlangsung tanpa sebarang insiden yang boleh menjejaskan keharmonian awam.
“Kita mengharapkan keadaan sentiasa berada dalam suasana yang tenang, aman dan terkawal sepanjang tempoh pilihan raya ini,” ujarnya.
Sementara itu, Jauteh turut menasihatkan semua parti politik dan calon yang bertanding supaya menjaga sensitiviti sepanjang tempoh kempen dengan tidak memainkan isu-isu yang boleh mencetuskan provokasi atau ketegangan.
“Jalankan kempen secara profesional dan tertib, demi menjaga keselamatan serta keharmonian masyarakat setempat,” tegas beliau.







