PBB kecewa kuasa veto AS gagalkan gencatan senjata Gaza

SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyatakan rasa kecewa terhadap tindakan Amerika Syarikat yang menggunakan kuasa veto untuk menolak draf resolusi Majlis Keselamatan berhubung gencatan senjata serta akses bantuan kemanusiaan segera dan tanpa syarat di Gaza.

Beliau berkata, gencatan senjata yang pernah dilakukan sebelum ini telah memungkinkan penghantaran bantuan kemanusiaan berskala besar kepada penduduk Gaza dan menyeru agar ia dapat dilaksanakan semula secara berkekalan.

“Kami pernah menyaksikan bagaimana gencatan senjata membolehkan bantuan besar disalurkan kepada Gaza. Ia perlu berlaku lagi, tetapi kali ini secara kekal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PBB di New York, Khamis, lapor Anadolu.

Menjawab soalan tentang langkah lanjut yang boleh diambil PBB, Guterres menegaskan bahawa sebarang usaha bantuan hanya akan berkesan sekiranya wujud gencatan senjata kekal, pembebasan semua tebusan secara segera dan tanpa syarat, serta akses kemanusiaan tanpa halangan.

“Kami sentiasa kecewa apabila gencatan senjata gagal dicapai, tebusan tidak dibebaskan, dan bantuan kemanusiaan tidak diagihkan atau diagihkan dalam keadaan yang membahayakan nyawa rakyat Palestin,” ujarnya.

Beliau turut mengulas mengenai pengorbanan kakitangan PBB yang terkorban, menyifatkan mereka sebagai individu yang komited membawa perubahan.

“Apabila konflik tercetus, mereka berjuang untuk keamanan. Apabila bencana melanda, mereka menghulurkan bantuan. Apabila hak dilanggar, mereka bersuara. Bekerja bersama mereka merupakan penghormatan seumur hidup,” katanya.

Guterres turut menegaskan bahawa PBB tidak akan menerima pembunuhan terhadap petugas PBB, kemanusiaan, wartawan, petugas perubatan, atau orang awam dalam apa jua keadaan.

“Tiada ruang untuk sikap lepas tangan. Kami tidak akan membiarkan pembunuhan ini menjadi kebiasaan yang baharu,” tegas beliau.

Apabila ditanya sama ada Israel perlu dipertanggungjawabkan, beliau menyatakan bahawa budaya impuniti kini berleluasa di seluruh dunia.

“Hari ini, impuniti wujud di mana-mana. Perpecahan geopolitik telah melumpuhkan Majlis Keselamatan, sekali gus membiarkan pelaku kekal bebas, menyebabkan kekecewaan besar kepada mereka yang mempercayai undang-undang antarabangsa,” katanya.

Mengenai persidangan PBB yang bakal dianjurkan oleh Perancis dan Arab Saudi bagi membincangkan prospek penyelesaian dua negara, Guterres menekankan kepentingan mempertahankan penyelesaian tersebut.

“Kepada pemimpin dunia dan delegasi, mesej saya jelas — kita mesti terus menghidupkan harapan kepada penyelesaian dua negara. Apa alternatifnya jika bukan ini? Adakah satu negara yang memaksa rakyat Palestin diusir atau hidup tanpa hak di tanah sendiri? Itu sesuatu yang tidak boleh diterima,” tegas beliau.

Sementara itu, serangan tentera Israel yang disambung semula pada 18 Mac lalu telah mengorbankan 4,402 nyawa dan mencederakan hampir 13,490 mangsa, sekaligus menamatkan perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tawanan yang dicapai pada Januari.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel turut berdepan prosiding kes pembunuhan beramai-ramai (genosid) di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tindakan ketenteraan mereka di wilayah berkenaan.

Related Posts

Handala godam laman web Stryker

WASHINGTON – Serangan siber ke atas syarikat peralatan perubatan Amerika Syarikat (AS) – Stryker – dilapor dilakukan oleh kumpulan penggodam Handala yang dikaitkan dengan Iran, susulan serangan ketenteraan AS dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Lebih 9,000 lokasi jadi sasaran AS-Israel

ISTANBUL – Tentera Amerika Syarikat (AS) dan Israel menyerang 9,000 sasaran dalam tempoh 10 hari pertama serangan ke atas Iran, kata Datuk Bandar Tehran, Alireza Zakani pada Khamis, lapor Anadolu…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Saifuddin Nasution peroleh penghakiman ingkar terhadap ‘Tam Jebat’

Saifuddin Nasution peroleh penghakiman ingkar terhadap ‘Tam Jebat’

Nenek palsukan maklumat kelahiran cucu didenda RM1,500

Nenek palsukan maklumat kelahiran cucu didenda RM1,500

JAKIM salur RM17.19 juta peruntukan kepada Perlis

JAKIM salur RM17.19 juta peruntukan kepada Perlis

Kanak-kanak Pasti jadi mangsa pertama mercun di Kedah, putus jari telunjuk

Kanak-kanak Pasti jadi mangsa pertama mercun di Kedah, putus jari telunjuk

Konflik Asia Barat tidak ganggu penerbangan domestik – Loke

Konflik Asia Barat tidak ganggu penerbangan domestik – Loke

109 asnaf, enam penerima Perkeso terima sumbangan makanan

109 asnaf, enam penerima Perkeso terima sumbangan makanan