
AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, menyifatkan penubuhan inisiatif ‘Payung Besar Melayu’ oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai satu helah halus untuk melemahkan UMNO dari dalam, dengan menyasarkan ahli parti tanpa melibatkan UMNO secara langsung.
Menurut Mohd Puad, usaha tersebut merupakan satu bentuk manipulasi politik yang berulang daripada Mahathir itu dengan tujuan memecahbelahkan kekuatan UMNO melalui pendekatan halus yang bertopengkan agenda penyatuan bangsa Melayu.
“Tun M sekali lagi cuba menipu orang UMNO. Beliau menubuhkan ‘Payung Besar Melayu’ dengan hanya menjemput ahli UMNO, tetapi menolak parti UMNO itu sendiri. Beliau tahu UMNO tidak akan masuk ke dalam perangkap yang sama untuk kali kedua,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, pendekatan tersebut merupakan strategi licik yang bertujuan untuk mengalihkan sokongan ahli UMNO kepada gabungan baharu itu tanpa perlu mereka keluar daripada parti, namun tetap menolak untuk memberikan undi kepada UMNO.
“Itu ialah jarum halus untuk membunuh UMNO dari dalam. Maksudnya, sokong mereka, tetapi jangan undi UMNO. Tun M tahu usaha itu tidak akan berjaya,” tambah beliau.
Mohd Puad turut mempersoalkan asas penubuhan ‘Payung Besar Melayu’ yang menurutnya bersifat politik semata-mata, dan oleh itu tidak akan bertahan lama kerana pasti akan berlaku pertembungan kepentingan serta perebutan kuasa sesama sendiri.
“Sebab itulah berlaku peristiwa ‘Langkah Sheraton’. Semasa kerajaan PH 1.0 dahulu, sudah pun ada ‘Kongres Maruah Melayu’ pada tahun 2019 yang ditaja oleh Tun M, dan juga Piagam Muafakat Nasional pada tahun yang sama. Namun semua itu gagal kerana asasnya adalah politik, bukannya ikhlas untuk perpaduan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa inisiatif baharu tersebut hanyalah ulangan kepada kegagalan-kegagalan lalu, yang digerakkan oleh keinginan peribadi Mahathir untuk terus berpengaruh dalam arena politik negara.
“Payung Besar Melayu ini tidak lain hanyalah nafsu orang tua. Bernafsu tetapi tidak lagi mampu,” sindirnya.
UMNO sebelum ini menyatakan pendirian untuk terus memperkukuh kedudukan parti melalui kerjasama sah dalam Kerajaan Perpaduan, dan menolak sebarang usaha luar yang boleh menggugat kestabilan parti atau perpaduan nasional.






