
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara untuk meneliti larangan perjalanan yang dikenakan terhadap aktivis dan artis grafik kontroversial, Fahmi Reza.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI sentiasa menjunjung tinggi kebebasan individu selagi tidak mengancam keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada.
“Sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberikan penjelasan lanjut berhubung perkara ini,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau turut menyatakan bahawa Pejabat Perdana Menteri akan terus memantau perkembangan kes tersebut dari semasa ke semasa.
Kenyataan ini dikeluarkan susulan pendedahan Fahmi di media sosial pada Sabtu (7 Jun) bahawa dia telah dihalang oleh pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ketika ingin menaiki penerbangan ke Singapura.
Fahmi memaklumkan bahawa dia merancang untuk menghadiri sebuah konsert punk dalam lawatan singkat tersebut, namun dimaklumkan bahawa pihak Bukit Aman telah mengeluarkan arahan menghalangnya daripada meninggalkan negara.
Dia kemudiannya diiring keluar dari balai pelepasan.
Insiden ini berlaku tidak lama selepas satu lagi sekatan perjalanan dikenakan terhadap Fahmi oleh pihak berkuasa Sabah pada 29 Mei lalu, apabila dia tidak dibenarkan memasuki negeri tersebut.
Sekatan itu dipercayai berpunca daripada satu karikatur yang dilukisnya sebagai kritikan terhadap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Pada penghujung tahun 2024, Fahmi juga pernah berdepan tindakan pihak berkuasa kerana didakwa menghina Yang di-Pertua Negeri Sabah yang ke-11 melalui satu karikatur yang dianggap menyinggung perasaan oleh Mahkamah Anak Negeri Keningau.
Fahmi, yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-47 pada hari dia dihalang di KLIA berkata, dia tidak diberikan sebarang alasan yang jelas mengenai larangan itu dan telah dinasihatkan supaya merujuk kepada pihak polis untuk mendapatkan penjelasan lanjut.





