
PUTRAJAYA – Sudah tiba masanya buat Kerajaan MADANI memperkenalkan semula makna patriotism sebagai kasih sayang yang berakar, selain memiliki tanggungjawab memahami sejarah, budaya dan perjuangan rakyat.
Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media di Universiti Selangor, Ismail Hashim Yahaya berkata, Malaysia tidak akan menjadi negara yang matang jika terus mengukur patriotisme hanya dengan kepatuhan ritual semata-mata.
Menurut beliau, simbol negara mesti dikembalikan kepada rakyat sebagai lambang harapan, bukan lagi sebagai alat politik yang cuba dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Dalam usaha untuk membina naratif patriotisme yang dewasa, kita perlu memulakan dengan pendidikan simbolik yang melahirkan makna dan kasih sayang. Anak muda harus diajar bukan hanya cara memasang bendera dengan betul, tetapi makna di sebalik warna dan jalurnya.
“Lagu kebangsaan harus dinyanyikan bukan sekadar dengan suara tetapi dengan jiwa. Institusi negara harus dilihat bukan sebagai entiti yang menjadi cerminan harapan rakyat. Kita perlu membina cinta berani, reflektif dan menyembuhkan.
“Ini kerana cinta yang dewasa tidak membisu dan negara matang mendengar, hidup bersama serta menghayati suara rakyatnya selain tidak terikat kepada skrip politik sempit namun cinta merentasi sempadan wilayah serta parti,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ismail memaklumkan, terdapat keperluang membuka ruang kepada naratif inklusif, di mana patrotisme bukan milik satu kaum, parti mahupun mana-mana kelas sosial berikutan merangkumi semua identiti Malaysia.
Beliau berpandangan, naratif patriotik mesti mengangkat suara Orang Asli, Sabah dan Sarawak, di samping tidak meminggirkan minoriti agama serta golongan terpinggir sebagai sebahagian daripada jiwa negara.
“Warganegara dan khususnya generasi muda harus dididik untuk mencintai negara dengan keberanian untuk menegur, menghormati bendera bukan kerana takut dihukum tetapi kerana memahami sejarahnya serta menyanyikan lagu kebangsaan dengan penghayatan bukan sekadar suara.
“Patriotisme dewasa ini haruslah berakar dalam empati, bukan ketakutan; berani menyoal demi kebaikan bersama; menganyam makna dari sejarah, budaya dan suara rakyat serta menyembuhkan, bukan menghukum,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, perkara itu bukan sahaja berlegar sebagai idealisme namun asas kepada pembaharuan kebangsaan dan pembentukan Malaysia yang sejati.
“Ini di mana simbol, makna dan tindakan bersatu dalam naratif yang menyembuhkan. Bendera terbalik bukan sekadar kesilapan. Ia adalah panggilan untuk kita menilai semula makna simbol, tindakan dan cinta kepada negara,” katanya.








