
PADANG BESAR – Cubaan menyeludup ganja di sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand gagal selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara merampas 10 ketulan mampat disyaki dadah bernilai RM300,000 di Kaki Bukit, awal pagi kelmarin.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, operasi itu dijalankan Cawangan Risik Batalion 1 dalam Op Taring Wawasan Kedah/Perlis kira-kira pukul 12.45 tengah malam.
“Pasukan operasi mengesan sebuah Toyota Vios hitam dalam keadaan mencurigakan di bahu jalan sebelum pemandunya memecut laju ke arah Kaki Bukit sebaik dihampiri.
“Bagaimanapun, suspek berjaya melarikan diri namun pemeriksaan lanjut menemukan sebuah guni putih berisi 10 ketulan mampat dipercayai ganja seberat 10 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kesemua rampasan itu diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Shahrum berkata, antara Januari hingga Ogos tahun ini, Briged Utara telah merampas ganja seberat 60.4 kilogram dengan nilai keseluruhan RM1.81 juta serta menahan empat lelaki warga asing di kawasan sempadan.
Beliau menegaskan, PGA tidak akan berkompromi dalam membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan berbukit dan laluan hutan di sempadan utara.
“Briged Utara komited meningkatkan rondaan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan dapat ditumpaskan,” jelasnya.
“Saya menyeru masyarakat agar tampil menyalurkan maklumat sebagai mata dan telinga pihak berkuasa untuk mengekang kegiatan yang menyalahi undang-undang.








