LAPORAN eksklusif Joseph Sipalan dan Hadi Azmi di portal berita antarabangsa The South China Morning Post pada 15 Jun 2024 yang lalu memberi isyarat kepada kita bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal dengan pendiriannya memperjuangkan nasib dan kebebasan rakyat Palestin.
Hakikat itu menunjukkan bahawa di sebalik dakwaan domestik yang rata-ratanya melibatkan kelibat pembangkang kononnya Malaysia Madani tidak serius membela Palestin, Perdana Menteri ke-10 berdiri di pentas dunia dengan menolak gesaan Amerika Syarikat agar Malaysia mengikis simpati ke atas Hamas.
Tanpa sebarang keraguan beliau membelakangi kemahuan sekutu Israel itu dengan suara yang mengejutkan – menggelar kumpulan militan itu sebagai ‘pejuang kebebasan’.
Dengan menyifatkan sokongan ‘Uncle Sam’ ke atas Israel sebagai ‘benar-benar gila’, Anwar merakamkan sokongan berterusan Kerajaan Malaysia ke atas Palestin, menganggap negara ‘berdarah’ itu sentiasa dekat di hati dan tidak sesekali mempedulikan ‘propaganda tidak henti-henti’ Barat.
Apa lagi naratif buruk yang mahu ditaburkan oleh pembangkang dalam aspek ini? Adakah mereka melihat bahawa usaha memburuk-burukkan PMX dan Kerajaan Perpaduan lebih mulia berbanding menjadi sebahagian unsur dalam seberkas lidi yang akan menyapu sampah kemanusiaan sejagat?
Memang benar bahawa dalam menguruskan kelangsungan politik, pihak pembangkang perlu mempunyai teras pergerakan tersendiri dan berhak berbeza dengan kerajaan, namun dalam hal sebegini, pamerkanlah hati budi yang mulia – kebaikan pemimpin negara harus diakui dan diterima dengan jiwa besar.
Malaysia seharusnya dilihat oleh mata dunia sebagai negara yang matang dalam perjuangan ini dan kematangan itu mudah ditafsirkan jika pembangkang tidak mengecam Perdana Menteri, sebaliknya bersatu hati membawa aspirasi rakyat yang mahu melihat Palestin memperoleh kebebasan.
Sudah banyak bukti berada di hadapan mata berkaitan kesungguhan PMX dan Kerajaan Perpaduan membela Palestin dan menyokong pihak seperti Hamas sekalipun risikonya sangat tinggi, bukan sahaja dari aspek ekonomi dan politik, malahan ‘tekanan keselamatan’.
Tidak munasabah kita mahu merosakkan negara dan mencemar akal budi hanya kerana wujudnya perbezaan sedemikian.







