PUTRAJAYA – Ringgit terus mengekalkan momentum mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan mencecah paras RM4.12 setakat tengah hari tadi, paras tertinggi sejak Jun 2021.
Perangkaan ekonomi tempatan lebih baik berbanding jangkaan, penurunan kadar faedah AS baru-baru ini serta sentimen lebih baik di China menyokong pengukuhan ringgit berbanding mata wang negara maju itu.
Pada dagangan semalam, mata wang tempatan mengakhiri sesi dagangan pada paras tertinggi dalam 34 bulan, selepas China mengumumkan pakej rangsangan yang bertujuan mencergaskan kembali ekonominya.
Pada jam 6 petang semalam, ringgit mengukuh kepada 4.1550/1605 berbanding dolar AS, naik berbanding 4.2000/2060 ketika ditutup pada Isnin.
Ringgit meneruskan pengukuhannya dengan pada jam 8 pagi tadi, apabila ia diniagakan 4.1490/1600 berbanding dolar AS daripada 4.1550/1605 semasa ditutup pada Selasa.
Setakat jam 12 tengah hari, mata wang tempatan itu kekal kukuh dengan berada RM4.1225 satu dolar.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prospek untuk ringgit kekal positif.
Beliau berkata, jangkaan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS akan menyokong ringgit untuk terus mengukuh.
Katanya, sentimen lebih baik juga didorong oleh keputusan People’s Bank of China (PBoC) mengurangkan kemudahan pinjaman jangka sederhana satu tahunnya dari 2.30 peratus kepada 2.00 peratus dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonominya.
“Jelas sekali, kerajaan China telah meningkatkan usaha mereka untuk mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5 peratus tahun ini.
“Ini pada tahap tertentu akan mengurangkan kebimbangan terhadap pertumbuhan perlahan China.
“Secara keseluruhannya, ringgit nampaknya berada di tempat yang menarik pada masa ini,” katanya.
Sementara itu, AmBank Group dalam nota penyelidikannya berkata, di tengah-tengah peningkatan selera risiko dalam pasaran global, ringgit terus mengukuh dengan mencecah paras tertingginya dalam tempoh tiga tahun.
Ia berkata, sentimen yang lebih baik di China juga menyokong pengukuhan ringgit susulan langkah pelonggaran oleh PBoC.
Mengenai tinjauan ringgit bagi minggu ini, ia menjangkakan paras rintangan 4.272/4.300 dan paras sokongan 4.107/4.127.




