LIMBANG – Projek Lebuhraya Pantai Utara (Northern Coastal Highway, NCH) Seksyen Limbang dijangka menjadi pemangkin utama pembangunan ekonomi dan sosial di utara Sarawak, khususnya bagi Limbang dan Lawas.
Pengarah Bahagian Pengurusan Projek, Regional Corridor Development Authority (RECODA), Ir. Ts. Mohammad Safri Ibrahim berkata, projek strategik kerajaan negeri itu merupakan sebahagian daripada Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur sebagai asas pertumbuhan ekonomi seimbang dan inklusif.
“Laluan ini akan menghubungkan Limbang dengan Lawas dan seterusnya Brunei Darussalam, sekali gus memudahkan pergerakan barangan, hasil pertanian, produk tempatan dan perkhidmatan. Ia juga akan meningkatkan akses kepada kemudahan pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan untuk penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada Awareness Programme Pelaksanaan Projek NCH di Dewan Bunga Raya, Kampung Bunga Raya, hari ini.
Projek NCH Seksyen Limbang melibatkan pembinaan jalan sepanjang 44 kilometer dari Kompleks ICQS Tedungan ke ICQS Pandaruan dengan tempoh pembinaan selama 48 bulan. Skop kerja merangkumi pembinaan laluan baharu empat lorong dua hala, menaik taraf jalan sedia ada, pembinaan jambatan strategik, ruang persinggahan, kemudahan awam dan pengalihan utiliti asas.
Menurut beliau, projek ini bukan sekadar membina jalan raya, malah membuka lembaran baharu pembangunan sosioekonomi daerah. Antara manfaat yang dijangka termasuk peningkatan nilai hartanah, peluang keusahawanan dalam sektor logistik, penginapan, makanan dan minuman, selain merancakkan sektor ekopelancongan.
“Kita mahu NCH menjadi nadi utama perdagangan rentas sempadan dengan memanfaatkan kedudukan strategik Limbang yang bersempadan dengan Brunei,” ujarnya.
Turut hadir, Residen Bahagian Limbang, Unus Tambi dan Pengarah Wilayah Northern Region Development Agency (NRDA), Datuk Ubaidillah Abdul Latip.






