
PUTRAJAYA – Berbagai naratif dan helah dilaksanakan oleh pembangkang namun tidak cukup kuat untuk memecahbelahkan keharmonian rakyat di Malaysia, kata Penganalisis Sosiopolitik, Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
Menurut Awang Azman, sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pada 31 Ogos lalu menjadi saksi rakyat pelbagai kaum berkumpul seawal pagi mencerminkan sebuah simbol perpaduan yang masih kukuh dalam kalangan rakyat.
Katanya, ia juga merupakan signal yang jelas berkenaan penerimaan rakyat kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Naratif perkauman yang dimainkan oleh pembangkang tidak cukup kuat untuk memecahkan keharmonian dan semangat kebangsaan yang telah terbina sekian lama.
“Kehadiran ramai dari pelbagai latar belakang kaum dan budaya juga menunjukkan kesediaan rakyat untuk meraikan negara ini secara bersama, menandakan penerimaan mereka terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini menunjukkan bahawa perpaduan rakyat bukan semata-mata hasil kempen kerajaan, tetapi lebih kepada kecintaan mereka kepada tanah air,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press pada Rabu.
Namun tambah beliau, kerajaan dan Kementerian Komunikasi disaran agar lebih peka dalam menangkis serangan 3R (kaum, agama dan raja) yang akan memberi kesan jangka panjang jika tidak ditangani dengan bijaksana.
Ujarnya, meskipun sambutan Hari Kebangsaan ke-67 disambut meriah, masih terdapat pihak-pihak yang galak memainkan isu sensitif ini dan dikhuatiri bakal menganggu-gugat ketenteraman masyarakat.
“Namun, adalah penting untuk meneliti fenomena ini secara lebih kritis walaupun kemeriahan ini boleh dilihat sebagai bukti sokongan kepada Perdana Menteri dan keberkesanan Kementerian Komunikasi dalam menyampaikan mesej kerajaan.
“Ia juga tidak boleh mengaburi hakikat bahawa isu-isu perkauman masih wujud dan akan dapat memberi kesan jangka panjang jika tidak ditangani dengan bijaksana,” katanya.






