LAMA mana lagi hendak ku turutkan,
kata telunjuk yang menuding kepalaku.
Sabar apa lagi hendak ku katakan,
hingga aku bernafas bagai dalam lumpur.
Inilah petikan lirik lagu kumpulan Wings, nyanyian bintang rock tanahair Datuk Awie yang seakan kena dengan senario yang berlaku dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan atau Nafas.
Setiausaha Agung Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, bait-bait dalam rangkap pertama lagu Bernafas Dalam Lumpur itu bagaikan satu pantulan cerminan terhadap organisasi Nafas yang sedang melalui fasa reformasi oleh Kerajaan Madani ketika ini.
“Lagu ini menjadi begitu ikonik, meskipun peminatnya telah beruban dan banyak telah arwah, namun ia masih kekal sebagai lagu slow rock paling popular dalam sejarah rock negara, malah ia akan terus popular – dulu kini dan selamanya.
“Lagu ini dimuatkan dalam album Bazooka Penaka yang diterbitkan pada tahun 1993 iaitu lebih 31 tahun lalu.
“Namun ada organisasi lebih tua daripada lagu Bernafas Dalam Lumpur. Jika lagu Bernafas Dalam Lumpur dendangan Wings berusia 31 tahun maka ia berusia 52 tahun iaitu Pertubuhan Peladang Kebangsaan atau lebih dikenali dengan akronim Nafas,” katanya ketika dihubungi.

Dr Helmi berkata, peranan Nafas boleh dipertikaikan sejak ia ditubuhkan dalam membantu peladang dan petani yang dilihat selama ini sekadar melepaskan batuk di tangga.
“Nyanyian Awie bermula dengan nada kekecewaan iaitu “Lama mana lagi hendak ku turutkan, kata telunjuk yang menuding kepalaku”.
“Saya tidak yakin Awie adalah seorang peladang atau petani kerana beliau seorang penyanyi, namun beliau seolah-olah bagaikan menjiwai keresahan yang dialami oleh peladang dan petani selama ini.
“Cuba bayangkan sejak sekian lama, peladang dan petani telah menyatakan ketidakpuasan. Benih yang dibekalkan oleh Nafas tidak berkualiti, baja yang bekalkan macam hampas… lebih banyak pasir dan tanah daripada baja, manakala racun yang dibekalkan pula tidak berkesan.
“Lama-kelamaan tanah yang subur menjadi tandus lantaran nutrien dalam tanah semakin rapuh zatnya. Apabila tanah semakin lemah maka produktiviti hasil tani pun semakin parah. Maka banyaklah sawah yang terbiar dan kegiatan berkebun semakin lesu,” katanya.
Sepatutnya, Dr Helmi berkata, Nafas mesti menjadi juara dalam membela nasib peladang dan petani sekali gus menyahut seruan pertiwi sebagai barisan paling terkehadapan dalam menangani keterjaminan makanan negara.
“Mengapa sektor pertanian di negara lain boleh berkembang sedangkan kita merudum. Jawabnya sebab Nafas membaja atas kertas dan bukan pada tanah. Mereka disibukkan dengan pentadbiran demi kepentingan elit bukan sibuk membangunkan projek pertanian untuk golongan marhain.
“Apakah Nafas imun kepada kepentingan negara dan tuli pada perubahan global. Kita tidak pernah di ‘showcase’ dengan pelbagai projek Nafas dalam tangani keterjaminan makanan. Di manakah silapnya?
Dr Helmi menegaskan, isu keterjaminan mungkin tidak berlaku di Malaysia jika Nafas memainkan peranannya dan diuruskan dengan tatakelola yang baik.
“Saban tahun Nafas dianugerahkan dulang emas dengan kontrak membekal benih, baja, racun berbillion ringgit. Apa salahnya jika keuntungan 1 peratus daripadanya disalurkan kepada membangunkan projek-projek pertanian seperti membuka ladang ayam, lembu dan sayur-sayuran.
“Isu kekurangan bekalan ayam, daging dan sayuran bukanlah suatu isu baharu malah ia telah berdekad lamanya. Malah makanan asas iaitu beras terpaksa diimport dari negara jiran.
“Apakah Nafas tidak sedar bahawa isu keterjaminan makanan semakin kritikal apatah lagi Malaysia mengimport hampir semua keperluan makanannya?” soalnya.
Justeru, Dr Helmi menyambut baik langkah Kerajaan Madani dalam menaik taraf Nafas kepada badan awam.
“Ini merupakan satu langkah awal yang relevan dalam menuju ke arah integriti dan ketelusan apatah lagi selama ini ia dapat bernyawa dan bernafas dengan suntikan dana awam.
“Setelah sekian lama bernafas dalam lumpur maka akhirnya Nafas telah diberikan nafas baru.
“Pengurus tertinggi Nafas yang baru perlu mendakapi setiap lirik lagu Bernafas Dalam Lumpur dalam sanubari mereka.
“Langkah seterusnya ialah meningkat daya inovasi dalam pengurusan Nafas agar ia menyedut roh keusahawanan dalam segala ruang lingkup pentadbiran dan pembangunan.
“Nafas perlu disuntik dengan daya inovasi yang menampilkan ‘business model’ yang berimpak tinggi dan produktif khususnya untuk dimanfaatkan oleh pemegang taruh,” katanya.
Dengan langkah terbaharu Kerajaan Madani yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini, Dr Helmi berharap imej baru Nafas ini dapat ditransformasikan menjadi enjin pola pertumbuhan ekonomi peladang.
“Maka rangkapan lagu Bernafas Dalam Lumpur iaitu “Sabar apa lagi hendak ku katakan, hingga aku bernafas bagai dalam lumpur,” adalah cetusan suara nurani keluarga peladang dan petani yang melihat tanah yang subur menjadi tandus maka anak-anak muda pun mengangkat kaki berambus.
“Cukup-cukuplah sekian lama peladang dan petani bernafas dalam lumpur sedangkan pengurusan tertinggi mengipas perut kekenyangan.
“Akhir kata lantiklah Awie menjadi lembaga pengarah Nafas, siapa tahu kehadirannya boleh mengibarkan sayap perubahan atau ‘wings of change’,” katanya sinis.






