SETELAH pemutihan Pertubuhan Perladangan Kebangsaan (Nafas), daripada seramai 900,000 ahli hanya sebanyak 664,000 ahli sahaja yang masih aktif.
Peratusan ini adalah rendah iaitu, 22 peratus aktif dan baki 78 peratus tidak aktif.
Hal ini kerana Ahli Jemaah Pengarah (AJP) hanyalah sekadar ‘pelabur’ bukan peladang dimana memegang jawatan di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan Nafas sejak ditubuhkan 51 tahun lalu.
Seorang pemerhati politik, Ahmad Mursi, menerusi hantaran Facebook berkata, situasi ini terlihat jelas apabila Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah dianggap ‘mastermind’ kerana telah lebih 20 tahun menjadi AJP dan 30 tahun memegang jawatan di PPK serta PPN.
Ahmad Mursi berkata, ahli Nafas dibawah umur 40 tahun hanya 18 peratus dan peladang muda sering disekat keahliannya di peringkat kawasan.
“Tujuannya agar perlantikan di PPN dan AJP Nafas boleh dikawal dan dimanipulasi kartel.
“Dengan cara itu, anak syarikat dan kontrak baja bernilai berbilion ringgit juga dapat dikawal selain projek dan geran kerajaan sekitar RM300 juta setahun diagihkan pada ahli sedia ada.
“Banyak projek gagal. Misalnya, buat kandang kambing akhirnya tak ada hasil dan duit rakyat lebur.
“Usaha Arwah Salahuddin Ayub untuk pulihkan Nafas dimusnahkan oleh Perikatan Nasional (PN)-PAS.
“Selepas Audit Forensik 2018, Nafas menyaman AJP yang terlibat sakau duit Nafas, tetapi saman ini ditarik balik semasa kerajaan Tebuk Atap,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Pada Jun 2018, Pendaftar Pertubuhan Peladang mengeluarkan perintah penggantungan ke atas Nafas susulan satu laporan pengurusan audit yang dilakukan pada 26 Mac 2018, kerana mengalami masalah tadbir urus yang serius terutama dari aspek kompetensi, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam barisan kepimpinan AJP dan pengurusan sebelum ini.
Pada 2020 pula, Audit forensik yang dijalankan terhadap Nafas, menemui tujuh perkara yang meragukan dan menyalahi tatacara kewangan serta tadbir urus institusi itu, sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM50 juta.
Penemuan itu berdasarkan hasil audit forensik, terhadap akaun-akaun institusi itu yang dilaksanakan oleh sebuah firma audit antarabangsa pada Mei hingga September 2019, melibatkan salah laku di bawah pentadbiran AJP terdahulu.
Sementara itu, dia berkata, beberapa AJP korup ini meneruskan tugas tanpa sebarang tindakan dan mereka jugalah membuat keputusan untuk Nafas batalkan saman itu, malah diputuskan pula untuk bayar pampasan pada AJP terlibat.
Katanya saman sivil dibuat kerana SPRM tidak boleh bertindak waktu itu kerana nafas belum diiktiraf sebagai Badan Awam (hingga Mei 2023).
“Waktu Ronald Kiandee dan Nik Zawawi Pas jadi menteri, dibawah AJP korup ini, berlaku lagi skandal baja siap RM60 juta projek runding terus yang diproses dalam 6 hari dengan markup luar biasa (45 peratus-85 peratus). Baja pula tak ikut spesifikasi.
“Ini belum cerita silap mata kartel dalam anak syarikat lagi. Itu cerita kemudian,” katanya.








