
KIMANIS – Tidak malu bergelar nelayan pada usia muda, Mohd Afik Nasri Nordeen, 29, meneruskan minat dalam sektor perikanan meskipun pada mulanya berjinak-jinak dalam ilmu kelautan hanya sekadar hobi.
Bermula dengan minat sejak di bangku sekolah menengah, anak ketiga yang satu-satunya anak lelaki dari lima orang adik-beradik kini mengusahakan perniagaan trip memancing miliknya di kawasan laut Kimanis, Papar.
Merupakan anak jati Kampung Lanas, Afik berkata, kini perniagaannya mendapat sambutan yang amat baik daripada kaki pancing seluruh negara dengan pulangan keuntungan lumayan.
Mula menceburi perniagaan dalam bidang perikanan secara sambilan sejak sebelum pandemik Covid-19, Afik meneruskan perniagaan tersebut secara sepenuh masa sehingga kini.
“Perniagaan saya menyediakan dua pakej trip memancing iaitu Takat Lambidan Penyambaran Sumpit-sumpit dan Takat Sibarau Karang-karang yang mana kami akan turun ke laut bermula dari Teluk Kimanis hingga ke laut Labuan dan seterusnya ke perairan Pulau Mengalum.
“Apabila tiba musim teduh, cuaca cantik dan berakhirnya angin monsun timur laut sekitar bulan Mac hingga Oktober, kaki pancing akan mula menempah pakej memancing berkumpulan daripada kami di ‘One Piece Fishing Boat’.
“Antara pakej yang paling menjadi kegilaan kaki pancing ialah pakej Takat Sibarau Karang-karang yang merupakan trip waktu siang bermula pukul 5 pagi hingga 3 petang dengan muatan maksimum tujuh pemancing untuk RM1,750,” katanya ketika dihubungi wartawan TMP di sini pada Jumaat.

Menurut Afik, walaupun kadang-kala keuntungan tidak menentu kerana keadaan cuaca namun pada musim teduh atau musim ikan anggaran keuntungan kasar yang mampu dicapai perniagaannya adalah kira-kira RM15,000 hingga RM20,000 sebulan.
“Tetapi kegilaan kaki pancing yang datangnya daripada seluruh Sabah seperti Kota Kinabalu, Keningau, Tenom, Sipitang, Papar malah Semenanjung Malaysia agak tinggi, mereka tetap menempah pakej memancing walaupun bukan semasa musim teduh.
“Selain itu, seperti para nelayan lain kami juga turun sendiri ke laut dalam untuk menangkap ikan yang kemudian dijual kepada pemajak pasar,” kongsinya.
Ketika ditanya soal pencetus semangatnya untuk melibatkan diri dalam bidang perikanan, Afik menjelaskan perniagaan ini adalah hasil daripada tunjuk ajar bapa dan gurunya.
“Saya mula belajar memancing dan turun ke laut daripada bapa saya yang juga merupakan seorang pesara kakitangan awam dan memancing adalah hobi kami.
“Sebelum ini, saya bekerja dalam bidang ‘offshore’ dan pada masa itulah saya mula mengumpul modal dan akhirnya mampu membeli peralatan perikanan seperti enjin, perahu dan peralatan keperluan yang lain, semuanya saya gunakan modal sendiri.
“Untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini, saya terlebih dahulu berguru dengan para nelayan tentang ilmu kelautan dan menangkap ikan seperti belajar mencari takat, membaca kompas, merujuk ‘fish finder’, membaca angin, cuaca dan banyak lagi,” ujarnya.
Mereka yang berminat mengenai ‘One Piece Fishing Boat’ boleh terus menghubungi Afik di talian 014-3517611 atau terus melayari Facebooknya, www.facebook/mohdafik.nasri.







