
PEMERHATI politik, Raggie Jessy Rithaudeen berpandangan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak layak untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri, khususnya dalam konteks kepimpinan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menerusi siaran langsung di Facebook, beliau menegaskan isu calon Perdana Menteri merupakan masalah terbesar dan paling kritikal yang dihadapi PN sejak hampir dua tahun lalu, namun gagal diselesaikan sehingga kini.
Raggie berkata, kenyataan terbaharu Muhyiddin yang mengakui keperluan untuk menetapkan calon Perdana Menteri lebih awal secara tidak langsung mengesahkan PN sebenarnya masih belum mempunyai calon yang dipersetujui, sekali gus menafikan dakwaan sebelum ini oleh pihak tertentu Muhyiddin telah dipersetujui sebagai ‘poster boy’ gabungan tersebut.
“Ini membuktikan dakwaan kononnya Muhyiddin telah dipersetujui sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak benar. Muhyiddin sendiri mengakui perkara itu masih belum diputuskan,” katanya.

Beliau turut berpandangan Muhyiddin tidak lagi sesuai dicalonkan sebagai Perdana Menteri kerana krisis dalaman Bersatu yang berlarutan, termasuk pertembungan antara kem kepimpinan serta kehilangan sokongan dalaman yang kukuh.
Dalam masa sama, Raggie menegaskan Abdul Hadi juga tidak berupaya menjadi calon Perdana Menteri yang boleh meyakinkan rakyat, malah pencalonan beliau berpotensi menyebabkan prestasi PN merosot lebih teruk pada PRU16.
“Jika Muhyiddin dikekalkan, PN akan terus melemah. Jika Hadi diangkat, kesannya lebih buruk. Kedua-duanya bukan pilihan yang mampu membawa keyakinan kepada rakyat,” katanya.
Tambah beliau, kegagalan PN menamakan calon Perdana Menteri lebih awal menunjukkan gabungan itu tidak stabil dan tidak bersedia untuk mentadbir, meskipun sering mendakwa sebagai ‘kerajaan menanti’.
Sehubungan itu, Raggie menegaskan selagi isu calon Perdana Menteri tidak diselesaikan secara tuntas, PN akan terus berdepan krisis keyakinan rakyat dan berisiko menerima keputusan yang lebih buruk dalam pilihan raya akan datang.







