
TONGOD – Semua pihak diseru agar mengetepikan politik perbalahan dan bergerak secara adil dan bersama-sama demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, kata Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah.
Menurut Masiung, meskipun Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru sahaja berlangsung dan setiap parti telah bertanding serta mengemukakan manifesto masing-masing, hakikatnya tiada satu parti pun yang memperoleh kemenangan mutlak untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
“Seperti yang kita sedia maklum, selepas PRN, tiada satu parti yang mampu menubuhkan kerajaan melainkan melalui formula kerjasama seperti yang diamalkan di peringkat Persekutuan dan ia kini dipraktikkan di peringkat negeri Sabah,” katanya ketika di temui media sempena Program Sentuhan Kasih Desa Kuamut di Dataran Tongod, di sini, pada Khamis.
Mengulas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, beliau berkata pilihan raya tersebut bukanlah sesuatu yang diinginkan, namun ketentuan Ilahi telah menyebabkan Sabah kehilangan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat di kedua-dua kawasan berkenaan.
“Sebagai manusia, kita tidak mahukan perkara ini berlaku, tetapi Tuhan telah mentakdirkan kita kehilangan seorang pemimpin yang sangat berjasa di Kinabatangan dan Lamag.
“Apa yang penting, kita tidak boleh menoleh ke belakang, sebaliknya perlu terus melangkah ke hadapan,” katanya
Masiung turut mengakui terdapat dalam kalangan penyokong parti yang masih terluka dan sukar menerima realiti keputusan pilihan raya sebelum ini, namun menegaskan bahawa politik bersifat dinamik dan sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa.
“Politik ini tidak statik, perubahannya sangat cepat. Sebab itu saya tekankan agar kita tidak terlalu beremosi dalam politik kerana emosi yang berlebihan boleh menjejaskan keupayaan kita membuat keputusan yang tepat,” ujarnya.
Tambahnya, tujuan utama pilihan raya diadakan adalah untuk memilih wakil rakyat dan membentuk kerajaan yang stabil agar pentadbiran dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyelesaian permasalahan rakyat.
“Matlamat kita adalah untuk memastikan kerajaan yang terbentuk dapat bekerja dengan baik dan memberi fokus kepada keperluan serta kebajikan rakyat,” katanya.




