
PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MoT) menyangkal dakwaan bahawa kenderaan utiliti sukan (SUV) tidak boleh didaftarkan sebagai e-hailing.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ini kerana tiada sebarang perubahan dasar dibuat berkaitan kelayakan jenis kenderaan untuk digunakan dalam perkhidmatan e-hailing.
“Semua kenderaan yang memenuhi syarat teknikal serta mempunyai kapasiti tempat duduk antara empat hingga 11 orang adalah layak untuk dipertimbangkan bagi pelesenan e-hailing (EHO).
“Untuk makluman, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan atau kenyataan yang mengehadkan penggunaan kenderaan jenis SUV bagi tujuan pendaftaran e-hailing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Ketua Aktivis Gabungan E-hailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin dilaporkan berkata, pengecualian SUV sebagai kenderaan yang diluluskan dalam pelesenan e-hailing menimbulkan kebimbangan lebih 10,000 pemandu akan nasib sumber pendapatan mereka.
Beliau berkata, pemandu SUV kini berdepan dengan masalah bagi mengemas kini permit e-hailing masing-masing.
Dalam pada itu, Anthony berkata, beliau memahami kebimbangan yang timbul dalam kalangan pemandu e-hailing serta syarikat pengendali.
“Kementerian beri jaminan bahawa urusan pendaftaran kenderaan akan diteruskan seperti biasa mengikut peraturan dan garis panduan sedia ada,” katanya.





