
MENYOROT dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan ini telah memperlihatkan beberapa aspek seperti pencapaian dan perjalanan politik; transformasi ekonomi di peringkat domestik dan dunia; Perjanjian Malaysia 1963; hubungan luar negara; pendidikan; tatakelola, tadbir urus, penjawat awam dan rasuah. Perkara-perkara ini sememangnya memerlukan karisma dan gaya kepimpinan yang dominan pada peribadi seorang Perdana Menteri bagi merealisasikan impian murni Kerajaan Perpaduan ini.
Tidak kurang Melayu dan Islam
Mengurus elemen 3R (kaum, agama, raja) yang sentiasa panas antara ujian politik yang getir. Secara halus, Anwar tampil dengan berbusana baju Melayu dengan siap bersongkok dalam pakaian rasmi beliau. Malah, sebahagian penampilan Anwar bersama pemimpin negara luar, beliau tidak pernah meninggalkan identiti Melayu-Islam dalam dirinya.
Menyedari anak muda kebanyakannya cenderung bersama pembangkang, beliau mengisi jadual rasmi dengan menyusun program berdialog dengan anak muda di kampus-kampus serata pelosok negara meskipun keputusan PRN tetap berlaku sebaliknya, anak muda Melayu kekal dengan pembangkang.
Bukan itu sahaja, pada setiap Jumaat, beliau akan berjemaah sambil menyantuni rakyat di masjid-masjid yang menjadi pilihan. Kediaman rasmi beliau pula menjadi tempat untuk menyemarakkan majlis ilmu. Pengisian diisi oleh barisan ulama tersohor dari dalam dan luar negara. Namun, isu RUU Mufti Wilayah dilihat menjadi polemik dan hampir memecahbelahkan kekuatan umat Islam di negara ini, secara khususnya.
Cemerlang di pentas dunia, domestik kurang dihargai
Ternyata, kepimpinan Anwar di arena antarabangsa amat menyerlah. Malah, watak diplomatiknya begitu jelas menjadi aspek kelebihannya. Beliau menjadi pemimpin Islam luar dari negara Arab yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin. Kelantangan beliau disuarakan di pentas dunia seperti OIC dan APEC untuk tampil membela rakyat Palestin yang menjadi mangsa kerakusan rejim laknatullah Israel.
Namun, semua usaha yang dilakukan ini kadang-kala tidak dihargai di negeri sendiri. Tidak tahu di mana silapnya, solidariti rakyat dalam isu sejagat sepatutnya dizahirkan sebulat suara tetapi kelihatan terbelah dua. Sepertinya, wujud dua himpunan dalam satu isu yang sama.
Pendirian pembangkang yang masih skeptikal dalam konteks pendirian kerajaan terhadap isu Palestin amat mendukacitakan. Tidak dinafikan, ada ruang isu yang boleh dipolitikkan, tetapi dalam isu ini, pembangkang sewajarnya berdiri di belakang kerajaan dalam menyatakan sokongan.
Cabaran mengintai peluang kedua
Politik kaum dan agama dirumuskan menjadi antara cabaran utama kepimpinan Anwar Ibrahim. Walaupun segala usaha yang dilakukan berkait ekonomi, sosial dan juga isu antarabangsa, namun, masih terdapat suara-suara sumbang yang tidak berpuas hati.
Isu biasa tiba-tiba boleh menjadi luar biasa. Misalnya, perarakan dengan mengibarkan bendera China di Teluk Intan baru-baru ini, telah menjadi lahar besar yang menenggelamkan keharmonian rukun bangsa dan negara.
Paparan ini merupakan cabaran kepada Kerajaan PH-BN yang ingin melihat Perdana Menteri ke-10 ini meneruskan kesinambungan kejayaan Kerajaan Madani sekurang-kurangnya sepenggal lagi.
Cabaran demi cabaran sentiasa ada, menanti di hadapan adalah PRN Sabah, rasionalisasi subsidi RON95, PRN Melaka, Sarawak dan seterusnya, Johor. Semua ini adalah babak drama politik yang akan menguji ketahanan, kesepaduan, persefahaman Kerajaan Madani untuk bertahan hingga tamat penggal ini.




