DUNGUN – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Dungun di Kampung Bukit Pauh, sekali gus memperkukuh komitmen kerajaan dalam memperluas akses pendidikan berkualiti tinggi khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau disambut mesra oleh pelajar serta warga MRSM pada pagi Isnin, sebelum dibawa melawat kemudahan pembelajaran yang dilengkapi teknologi moden dan infrastruktur berteraskan sains serta inovasi.
Zahid berkata, pembinaan MRSM tersebut merupakan pelaburan strategik dalam melahirkan modal insan berdaya saing, selaras dengan keperluan masa depan negara yang semakin menuntut kepakaran dalam bidang STEM dan kecerdasan buatan (AI).
“Dalam masa yang sama, pendekatan pendidikan di MRSM Dungun turut diperkasa melalui konsep Ulul Albab yang menekankan keseimbangan antara kecemerlangan akademik, penguasaan ilmu sains serta pembinaan sahsiah dan kepimpinan,” katanya.

MRSM Dungun merupakan MRSM ke-58 di negara ini dan yang kelima di Terengganu, dengan kapasiti sehingga 750 pelajar.
Penubuhannya membuka lebih banyak peluang kepada pelajar luar bandar untuk mengikuti pendidikan berkualiti dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Maktab yang dibangunkan di atas kawasan seluas 71 ekar itu mula dibina pada 29 Mac 2021 dan siap sepenuhnya pada 13 November 2025 sebelum beroperasi pada 1 Disember tahun sama.
Pengambilan pertama pada Januari 2026 melibatkan 250 pelajar Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat, dengan jumlah keseluruhan meningkat kepada 295 pelajar setakat 28 Mac lalu.

Dalam masa yang sama, projek pembinaan MRSM berkenaan turut memberi impak positif kepada komuniti setempat melalui peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan serta merancakkan aktiviti ekonomi di sekitar Dungun.
Turut hadir pada majlis perasmian ialah Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar; Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman; Pengerusi Ketengah, Datuk Rozi Mamat serta Pengetua MRSM Dungun, Ahmad Naszeri Salleh.




