
“TAKKAN bangkai gajah boleh ditutup dengan nyiru.” Begitu jugalah hal terkait dalam isu pendidikan yang terlalu besar untuk dipikul oleh satu bahu, terlalu rumit untuk diselesaikan dengan satu dasar, dan terlalu penting untuk dilepaskan kepada seorang menteri semata-mata.
Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sedang memikul amanah besar dalam mereformasi sistem pendidikan negara yang telah sekian lama dibelenggu isu struktural dan dasar lapuk. Namun, hakikatnya kemenjadian pelajar bukan hasil kerja seorang individu, jauh sekali sihir dari seorang menteri.
“Beliau bukan sahaja menekankan aspek akademik, malah turut memperjuangkan kesejahteraan guru, penekanan terhadap pendidikan nilai, dan menangani isu-isu buli, keganasan serta tekanan emosi dalam kalangan pelajar.
“Namun dalam keghairahan masyarakat mencari ‘kambing hitam’, Fadhlina dijadikan sasaran seolah-olah beliau memiliki tongkat ajaib yang mampu mengubah sistem serta-merta. Ini suatu tanggapan tidak adil dan tidak berpijak di bumi nyata.
“Apabila berlaku isu berkaitan disiplin pelajar, kemerosotan akhlak atau kelemahan sistem persekolahan, tumpuan mudah ialah menyalahkan Menteri Pendidikan. Fadhlina Sidek kini menjadi sasaran kritikan segelintir netizen yang mahukan perubahan segera dan magis. Namun, realiti pendidikan tidak semudah itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azhar menegaskan, memang mudah untuk menjadikan menteri sebagai sasaran kemarahan, namun jika diperhalusi masalah pendidikan yang melibatkan disiplin pelajar, buli dan gejala sosial tidak wajar dilonggokkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM). Ia juga cerminan kelemahan masyarakat secara keseluruhan.
“Hari ini ramai ibu bapa lepas tangan dan menyerahkan 100 peratus tanggungjawab mendidik anak kepada sekolah. Anak kurang ajar, salahkan guru. Anak terlibat jenayah, salahkan sistem. Tapi di rumah tiada sempadan, tiada bimbingan akhlak. Bagaimana anak nak hormat guru jika ibu bapa sendiri tidak hormat?
“Masyarakat membiarkan budaya negatif. Buli dianggap lumrah asrama. Anak yang degil dianggap hero. Bila ada aduan salah laku, jiran diam, cikgu takut, masyarakat tutup mata. Akhirnya, pelaku rasa kebal dan mangsa terus trauma.
“Media sosial membentuk sikap permisif. Banyak konten yang mempersenda guru atau sistem pendidikan yang sering menjadi viral. Budaya “clout” mengangkat kelakuan biadab.
Masyarakat juga tidak membantu membina iklim beradab malah kadang-kadang meraikan kebodohan.
“Institusi agama dan komuniti longgar peranan dalam mendidik unsur keagamaan kepada anak. Masjid dan surau dibiarkan sepi. Sepatutnya menjadi saluran pendidikan nilai untuk generasi muda tapi ramai hanya tunggu kerajaan buat apa, sedangkan membentuk akhlak perlu sokongan berlapis masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar menyambut baik langkah KPM baru-baru ini yang melaksanakan pendidikan karakter, bermula pada tahun depan.
“Ini satu langkah yang baik, saya sokong kerana subjek ini dapat memperkasakan pembangunan peribadi dan sahsiah pelajar. Ia terkait rapat dengan pembentukan karakter anak-anak. Pastinya yang kita mahu melahirkan generasi beradab disamping memiliki jati diri yang teguh,” katanya.
Bagaimanapun Azhar menegaskan, KPM boleh menggubal dasar, memperkasakan kurikulum dan menyediakan kemudahan, tetapi nilai dan adab tidak boleh dipaksa melalui dokumen polisi. Ia tumbuh subur di rumah, disiram oleh teladan ibu bapa, dan dijaga oleh komuniti.
“Kita tidak boleh mengharapkan pelajar menjadi insan beradab jika di rumah mereka melihat kata-kata kesat, penghinaan terhadap guru, atau tiada nilai agama dipupuk. Kita tidak boleh hanya melaungkan marah apabila berlaku buli, ponteng atau gejala sosial tanpa menyoal apa peranan kita dalam membina lingkungan yang lebih baik?
“Sekolah hanyalah salah satu komponen dalam ekosistem pendidikan. Pelajar hanya menghabiskan kira-kira 6 jam sehari di sekolah, sedangkan majoriti masa mereka dihabiskan di rumah dan persekitaran. Maka, bagaimana mungkin seluruh pembentukan sahsiah dan akademik disandarkan kepada guru dan kementerian?
“Jika benar kita mahu melahirkan generasi yang cemerlang sahsiah dan akademik, maka semua pihak harus bergerak seiring. Pendidikan bukan kerja satu orang dan perubahan tidak berlaku dalam semalam. Yang pasti, menteri bukan tukang sihir dan sekolah bukan tong sampah untuk membuang beban masyarakat,” katanya.







