
TANJUNG MALIM– Kesejukan melampau atau hipoterma disahkan sebagai punca kematian Mustaqqeem Mansoor, 34, pendaki yang ditemukan tidak bernyawa di puncak Gunung Liang di sini, pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, Deputi Superintenden Suhaimi Muhamad berkata, hasil bedah siasat dijalankan Pakar Patologi Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, di Unit Forensik Hospital Slim River.
“Sebelum itu, pasukan penyelamat berjaya membawa turun mayat mangsa sekitar jam 3 petang menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas keadaan cuaca kembali baik.
“Mayat kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat.
“Proses pengecaman dilakukan oleh isteri dan adik lelaki mangsa pada jam 5.35 petang,” katanya dalam satu kenyataan malam Jumaat.

Menurutnya, jenazah kemudiannya dituntut ahli keluarga sebelum dibawa pulang ke Pulau Pinang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Nurussaadah, Lahar Tabut, Penaga.
Mustaqqeem, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, dilaporkan hilang ketika menyertai aktiviti pendakian bersama 10 rakan dari Bukit Fraser, Pahang pada 10 Oktober lalu.
Kumpulan itu dijadualkan menamatkan pendakian di Gunung Liang, di sini, Isnin lalu.
Bagaimanapun, mangsa ditemukan sekitar jam 3.30 petang pada Khamis di puncak Gunung Liang Barat dalam keadaan tidak bernyawa.








