
PUTRAJAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyokong penuh ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang melarang hidangan minuman keras di semua majlis rasmi anjuran kerajaan.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim menegaskan, penyediaan minuman keras dalam majlis rasmi kerajaan jelas bercanggah dengan arahan serta etika rasmi kerajaan Malaysia.
Menurutnya, menerusi program peringkat antarabangsa seperti Mesyuarat ASEAN yang dianjurkan Malaysia, perkara itu telah lama dilarang bagi menghormati sensitiviti dan nilai budaya negara.
“MCW berpandangan bahawa perkara ini bukan sekadar isu kecil atau persepsi semata-mata, tetapi menyentuh secara langsung aspek tatakelola, ketelusan penajaan serta pematuhan terhadap pekeliling dan arahan kerajaan yang telah lama dikuatkuasakan.
“Perlu diingatkan bahawa telah sekian lama wujud arahan Kabinet serta pekeliling yang melarang penyediaan atau penghidangan arak dalam mana-mana majlis rasmi kerajaan, termasuk yang dianjurkan bersama rakan industri atau sektor swasta.
“Oleh itu, sekiranya benar berlaku penyediaan minuman keras dalam majlis yang membawa nama rasmi kerajaan, walau ditaja oleh pihak luar sekalipun, ia tetap merupakan pelanggaran terhadap prinsip tatakelola dan etika perkhidmatan awam,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.

Dalam pada itu, Jais berpandangan, keperluan untuk audit dalaman dijalankan segera bagi memastikan pematuhan kepada pekeliling dan garis panduan sedia ada.
Menurutnya, langkah terbabit penting untuk mengelakkan salah tanggapan, sekaligus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran awam.
“Isu integriti tidak boleh ditafsir atau diamalkan secara terpilih. Menjaganya bukan hanya bermaksud mengelak rasuah atau salah guna kuasa besar, tetapi juga memastikan setiap tindakan dan keputusan kerajaan bebas daripada pengaruh tidak wajar, jelas, dan menghormati etika perkhidmatan awam.
“Kemajuan ekonomi dan imej pelancongan negara tidak boleh dibina atas pelanggaran prinsip asas tadbir urus. Nilai integriti mesti menjadi asas setiap majlis, acara dan keputusan kerajaan — tidak kira sama ada ia melibatkan wang rakyat atau tajaan pihak luar,” katanya.
Dalam pada itu, Jais berkata, MCW menyeru agar semua kementerian dan agensi menilai semula dasar serta amalan penerimaan tajaan daripada pihak swasta, dengan memperketat prosedur kelulusan dan garis panduan pelaksanaan.
“MCW juga menegaskan komitmen untuk terus memainkan peranan sebagai badan pemantau bebas terhadap isu integriti, rasuah dan tatakelola dalam sektor awam dan swasta di Malaysia.
“Integriti bukan sekadar slogan, ia adalah disiplin dan tanggungjawab bersama. MOTAC dan Tourism Malaysia perlu tampil memberi penjelasan rasmi kepada rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran keras kepada menteri serta kementerian berkenaan supaya memastikan kesilapan menghidangkan arak di acara rasmi kerajaan tidak berulang.
Beliau berkata, penjelasan kementerian itu bahawa minuman keras hanya dihidangkan selepas selesai acara rasmi adalah tidak wajar kerana dasar kerajaan secara tegas tidak membenarkan ia dihidangkan sama sekali.