PUTRAJAYA – Pembentangan Belanjawan 2026, pada Jumaat diharapkan mempamerkan ketegasan kerajaan dalam menangani isu integriti, rasuah dan memperkasakan peranan agensi penguat kuasa di seluruh negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dasar terbabit dilihat penting dalam memastikan semua agensi penguat kuasa dapat bergerak secara bersama.
Katanya, ketegasan itu juga dilihat bagi memastikan usaha membanteras salah laku rasuah dan ketirisan wang negara dapat dilaksana secara holistik dan pragmatik.
“Kita akan terus berusaha mengembalikan wang milik kerajaan yang hilang, kepada rakyat. Saya berharap dalam pembentangan esok, ada satu bentuk ketegasan kerajaan berhubung isu integriti, rasuah.
“Berkemungkinan memperkasakan agensi penguat kuasa di negara kita, bukan saja SPRM tetapi juga agensi penguat kuasa lain supaya semua bergerak bersama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Antirasuah 2025 anjuran Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (PAKAR), pada Khamis.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil yang juga Penasihat PAKAR.

Dalam pada itu, Azam berkata, strategi SPRM tahun ini juga berpaksikan usaha memulihkan dana awam yang hilang atau dicuri.
“Kaedah terbabit sejajar komitmen agensi itu untuk membanteras rasuah secara sistematik dan berkesan.
“Sebab itulah pada awal tahun ini, saya telah mengumumkan fokus SPRM adalah mengurangkan ketirisan dan menumpukan kes bersindiket yang membabitkan kerugian kewangan besar kepada negara,” katanya.
Belanjawan 2026 dijadual dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan, di Dewan Rakyat, pada Jumaat.








