
KUALA NERUS – Sebanyak 45 kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung penyebaran berita palsu di media sosial, setakat ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara Malaysia bagi tindakan lanjut, sama ada dikenakan kompaun atau dibawa ke mahkamah.
Beliau berkata, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan kompaun sehingga RM250,000.
“Jika didakwa dan sabit kesalahan di mahkamah pula, pesalah boleh dihukum denda hingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Terengganu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, MCMC mengambil pelbagai langkah bagi mengekang penyebaran berita palsu, termasuk mengarahkan kandungan berkaitan diturunkan.
Selain itu, katanya, pemilik akaun media sosial terbabit akan dikenal pasti dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum dipanggil memberi keterangan.
Terdahulu, Fahmi berkata, sebanyak 386 kandungan berita palsu dikesan setakat ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 118 kandungan berkaitan isu bahan api, tarif elektrik (45) serta dakwaan pembayaran tol kepada Iran (147).
“Selain itu, terdapat 15 kandungan fitnah mendakwa Malaysia menjual diesel kepada Filipina,” katanya.





