KANGAR – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Gan Ay Ling menggesa Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli supaya berhenti mengeluarkan kenyataan bersifat sinis terhadap Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Perlis itu sebaliknya dicadangkan agar mengemukakan pelan tindakan yang lebih jelas bagi menjana pembangunan ekonomi negeri.
Menurut Ay Ling, kenyataan Mohd Shukri yang seolah-olah memperlekehkan pelbagai inisiatif Kerajaan Perpaduan adalah tidak wajar dan mengecewakan, apatah lagi apabila data menunjukkan komitmen jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memastikan Perlis tidak dipinggirkan.
“Sikap memperkecilkan usaha Kerajaan Persekutuan seolah-olah bantuan yang diberikan tidak cukup ‘menarik’ adalah amat mendukacitakan.
“Peruntukan pembangunan untuk Perlis telah meningkat hampir 65 peratus dalam tempoh dua tahun daripada RM391.91 juta pada 2022 kepada RM645.58 juta pada 2024. Ini adalah bukti keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap kemajuan negeri.
“Selain itu, jumlah penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Perlis turut melonjak lebih 142 peratus daripada 25,682 penerima pada 2024 kepada 62,292 orang pada 2025, sekaligus mencerminkan pendekatan dasar yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat bawahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam media melaporkan pengumuman penurunan petrol RON95 yang diumumkan Anwar disifatkan kurang menarik oleh Mohd Shukri, sebaliknya jika penurunan sebanyak 60 sen lebih baik.
Dalam pada itu, Ay Ling turut memetik kejayaan Kerajaan Persekutuan memulakan semula projek Sekolah Sukan Perlis yang tertangguh selama 11 tahun, hasil keprihatinan Perdana Menteri terhadap pembangunan belia dan bakat sukan negeri.
Mengulas penurunan harga RON95 yang diperlekehkan sesetengah pihak, beliau menegaskan langkah itu tetap memberi manfaat langsung kepada rakyat Perlis, khususnya mereka yang bergantung kepada kenderaan sendiri bagi urusan harian dan pekerjaan.
“Bantuan yang disalurkan bukan sekadar angka atas kertas. Ia adalah langkah holistik dan realistik dalam membela rakyat melalui pendekatan subsidi bersasar,” jelasnya.
Justeru, beliau menuntut Kerajaan Negeri Perlis di bawah pimpinan Perikatan Nasional untuk menyatakan secara terbuka apakah pelan tindakan yang telah dirangka dalam memanfaatkan dana dan peluang yang telah disediakan Kerajaan MADANI.
“Apakah strategi negeri untuk menarik pelaburan baharu dan mewujudkan peluang pekerjaan? Apakah inisiatif tambahan bagi melengkapi bantuan Kerajaan Pusat? Dan bagaimana negeri merancang untuk mengoptimumkan potensi ekonomi yang sedia ada?” soalnya.
Ay Ling menyeru Menteri Besar agar menghentikan permainan politik dan sebaliknya bersikap sebagai rakan strategik kepada Kerajaan Persekutuan.
“Gunakan sepenuhnya ruang, sokongan dan peruntukan yang telah diberikan demi kesejahteraan rakyat. Kerajaan Perpaduan telah menghulurkan tangan. Kini terpulang kepada Kerajaan Negeri untuk menyambutnya, bukan dengan sindiran, tetapi melalui tindakan supaya hasil dan manfaat yang benar-benar sampai ke tangan rakyat,” ujarnya.





